Pada separuh kedua abad
ke-19, Johor di bawah pemerintahan Sultan Abu Bakar lebih stabil berbanding Negeri-negeri Melayu pantai barat
seperti Selangor dan Perak. Bincangkan
Pendahuluan (3/2)
Pada separuh kedua abad ke-19, Johor yang ketika itu ditadbir oleh Sultan Abu Bakar adalah
lebih stabil berbanding dengan negeri Perak dan Selangor. Kebijaksanaan Sultan
Abu Bakar bukan sahaja berjaya mewujudkan kestabilan dan keamanan di Negeri
Johor tetapi juga telah berjaya menghindarkan Johor daripada dikuasai oleh
Inggeris. Mengikut Rupert Emerson, kemerdekaan Johor pada amnya disebabkan oleh
kebijaksanaan dan kematangan politik pemerintahnya (Sultan Abu Bakar) yang
dapat menyesuaikan diri dengan keadaan sosiopolitik yang kian berubah.
Isi (20m)
Ø Terdapat dua faktor utama yang
mempengaruhi wujudnya kestabilan di Negeri Johor, yang pertama ialah
kebijaksanaan Sultan Abu Bakar dan keduanya ketiadaan kekacauan dalam kalangan
orang-orang Cina di Johor. Keadaan ini tidak wujud di negeri Melayu yang lain khususnya
Perak dan Selangor.
Ø Sultan Abu Bakar yang menaiki takhta
pada tahun 1862 telah melaksanakan satu sistem pemerintahan yang kemas dan
teratur berbanding dengan sistem yang dikuatkuasakan di Selangor dan Perak.
Jabatan-jabatan kerajaan, sistem keadilan moden, pasukan askar dan polis telah
ditubuhkan. Kebijaksanaan dalam pemerintahan menyebabkan baginda digelar
sebagai ‘bapa pemodenan Johor’. Pada tahun 1895 Sultan Abu Bakar telah
memperkenalkan Undang-undang Tubuh Negeri Johor, Undang-undang ini digubal
melalui beberapa orang pegawai British dan ia dilaksanakan mengikut nasihat
British. Melalui undang-undang ini keharmonian dapat diwujudkan di negeri
Johor.
Ø Sikap Sultan Abu Bakar yang
menjalinkan hubungan baik dengan kuasa-kuasa barat juga mempengaruhi wujudnya
kestabilan di Johor, pada tahun 1868 baginda telah melakukan lawatan dan
mengadap Ratu Victoria di England. Tahun 1893 baginda telah melawat Itali dan
Turki. Hubungan baik dengan kuasa barat khususnya Britian telah menyebabkan
Ratu Victoria mengurniakan bintang ‘Knight Commander Of The Star Of India’ dan
gelaran Maharaja.
Ø Sultan Abu Bakar juga telah bertindak
mengambil pegawai-pegawai British sebagai penasihatnya dalam pentadbiran. Keadaan ini menyebabkan, British merasakan
diri mereka terlibat secara langsung dalam pentadbiran di Johor. Penglibatan
British dalam pentadbiran di Johor telah dapat mewujudkan keamanan politik dan
kestabilan di Johor. Keadaan ini tidak berlaku di Perak dan Selangor yang
bertindak enggan menerima pegawai-pegawai penasihat British yang akhirnya membawa
kepada campur tangan British di negeri-negeri berkenaan.
Ø Disamping memodenkan bidang ekonomi,
Sultan Abu Bakar juga telah memajukan ekonomi Johor. Baginda telah mewujudkan
suasana yang aman dan membenarkan saudagar-saudagar dari negeri-negeri Selat
untuk datang berdagang di Johor tanpa gangguan. Sultan Abu Bakar juga telah
memajukan perladangan gambir dan lada hitam dengan menggalakkan kemasukan
orang-orang Cina khususnya dari Singapura di bawah Sistem Kangcu. Sistem Kangchu
yang dilaksanakan di Johor telah menyebabkan ekonomi Johor berkembang pesat dan
ini menyumbang kepada kestabilan di Johor.
Ø Satu lagi faktor penting yang
menyumbang kepada kestabilan di Johor ialah tiadanya kekacauan dalam kalangan
orang-orang Cina. Orang-orang Cina yang datang ke Johor di bawah Sistem Kangcu
ditempatkan di kawasan-kawasan tertentu yang dikenali sebagai Kangkar. Setiap
kawasan atau Kangkar akan diawasi oleh seorang ketua yang dikenali sebagai
Kangcu. Kangcu dilantik dalam kalangan orang-orang Cina yang mempunyai Surat
Sungai yang dikeluarkan oleh kerajaan Johor. Oleh kerana orang-orang Cina
diberi kawasan petempatan masing-masing maka perselisihan tidak berlaku dalam
kalangan mereka. Orang-orang Cina hanya berkuasa di kawasan atau Kangkar
masing-masing. Keadan ini tidak berlaku di negeri Perak dan Selangor. Di
kedua-dua negeri tersebut orang-orang Cina bebas bergerak di kawasan
perlombongan dan perebutan kawasan sering berlaku dalam kalangan mereka,
contohnya perbalahan kumpulan Ghee Hin dan Hai San dalam Perang Larut di Perak.
Ø Di samping itu kebanyakan orang-orang
Cina di Johor terdiri daripada satu suku kaum sahaja iaitu Teochew. Oleh itu
permusuhan tidak timbul dalam kalangan mereka. Keadaan ini berbeza dengan negeri Perak dan Selangor di mana orang-orang
Cina terdiri daripada suku kaum dan berasal dari daerah yang berbeza seperti
Hakka, Hainan, Khek, Kongfu dan sebagainya. Mereka cenderong membentuk
kumpulan kongsi gelap berasaskan suku
kaum dan daerah asal seperti Ghee Hin, Hai San, Toh Pek Kong dan sebagainya.
Ø Johor juga dapat mewujudkan
kestabilan kerana tidak berlakunya perebutan kuasa dalam kalangan anak-anak
raja dan pembesar-pembesar negeri. Pada masa pemerintahan Sultan Abu Bakar
tidak timbul perebutan dan penentangan terhadap kekuasaan baginda. Walaupun
berlaku pemindahan pemerintahan daripada keturunan Sultan kepada Temenggung
tetapi ia berlaku tanpa menimbulkan perbalahan kerana proses pemindahan ini
dilakukan bukan melalui kekerasan tetapi melalui perjanjian apabila Sultan Ali
(anak Sultan Hussien) menandatangan satu perjanjian dengan Temenggung Daeng Ibrahim
(bapa Sultan Abu Bakar) pada tahun 1855. Keadaan ini tidak berlaku di
negeri-negeri Melayu yang lain. Di Perak dan Selangor perebutan takhta dalam
kalangan anak raja dan pembesar tempatan menyebabkan berlakunya huru-hara yang
membawa kepada campur tangan British.
Ø Kurangnya potensi ekonomi di
Johor juga mempengaruhi wujudnya
kestabilan politik di Johor. Pelaburan
modal saudagar Negeri Selat amat terhad berbanding dengan pelaburan mereka di
Perak dan Selangor. Oleh itu pihak British tidak membuat kawalan ketat ke atas
Johor kerana tidak mempunyai kepentingan ekonomi yang banyak. Pihak British
begitu berminat untuk menguasai negeri pantai barat khususnya Perak dan Selangor
yang kaya dengan bijih timah, lantaran itu British menggunakan apa cara untuk
memperkukuhkan kedudukan mereka di negeri tersebut.
Kesimpulan (2/3m)
Kebijaksanaan Sultan Abu Bakar dan keamanan yang disumbangkan oleh
orang-orang Cina di Johor telah telah mewujudkan kestabilan di negeri Johor
pada separuh kedua abad ke-19. Kestabilan ini begitu bermakna kerana dengan
kestabilan tersebut Johor dapat
mengekalkan kedaulatan negerinya agak lama berbanding dengan negeri-negeri
Melayu yang lain. Johor merupakan negeri Melayu yang terakhir jatuh ke tangan
British iaitu pada tahun 1914 dan ia dikelompokkan oleh British dalam kumpulan
Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu pada tahun 1915.
SOALAN 2
Bandingkan Adat Perpatih dan Adat Temenggung yang diamalkan di Tanah
Melayu sebelum campur tangan British pada tahun 1874
Pendahuluan (3/2m)
Adat
Perpatih dan Adat Temenggung dipercayai berasal dari Minangkabau, Indonesia.
Adat Perpatih diasaskan oleh Datuk Perpatih Nan Sebatang manakala Adat
Temenggung diasaskan oleh Datuk Ketemenggungan. Kedua-dua adat ini bermula
apabila seorang pembesar di Sumatera membahagikan pentadbiran kawasannya kepada
dua orang anak lelakinya berlainan ibu. Kedua-dua. mereka mempunyai perbezaan
daripada beberapa aspek seperti cara menjalankan pentadbiran. Adat Perpatih
diamalkan di Negeri Sembilan, Naning dan kawasan sempadan Melaka. Ia bersifat lisan diperturunkan dari generasi ke
generasi. Adat Temenggung pula diamalkan di Negeri –negeri Melayu yang lain.
Adat ini banyak dipengaruhi oleh agama Hindu dan kemudiannya unsur-unsur Islam,
iaitu hukum syarak mengikut Mazhab Syafie.
Isi (20m)
1. Politik (5m)
Dari segi politik adat
perpatih mengamalkan sistem pemerintahan secara demokrasi. Pemimpin dipilih
melalui wakil dari setiap suku, iaitu bermula anak buah melantik buapak, baupak
melantik lembaga, lembaga melantik undang dan undang melantik
Yam Tuan Besar. Walaupun Yam Tuan Besar bertindak seperti sultan di
negeri-negeri lain tetapi baginda tidak berhak melantik orang besar
negeri yang lain sebaliknya
perlantikan tersebut dibuat oleh hierarki yang lebih ke bawah dari Yam Tuan Besar. Selain itu setiap keputusan yang diambil oleh Yam Tuan Muda
adalah berasaskan keputusan yang dibuat bersama dengan undang.
Adat Temenggung pula bersifat autokrat,
iaitu kuasa terletak di tangan pemerintah atau raja. Sultan
merupakan tonggak sistem pemerintahan. Ini diikuti oleh kerabat diraja,
pembesar-pembesar peringkat negeri, wilayah dan mukim. Ketua kampung menduduki
lapisan terbawah. Kedudukan raja begitu istimewa samada dari segi politik,
ekonomi mahupun sosial. Jawatan bersifat warisan, putera sulong raja dan akan
dilantik menggantikannya sekiranya kemangkatan sultan. Sultan berkuasa melantik
pembesar dengan pemberian surat tauliah.
Pembesar diberi gelaran tertentu sesuai dengan kedudukannya. Jawatan pembesar juga bersifat
warisan. Kedudukan Raja diperkukuhkan lagi dengan konsep daulat dan penggunaan lambang-lambang tertentu.
2. Ekonomi (5m)
Dari segi ekonomi adat perpatih
bersifat matrilinear, iaitu kaum wanita
mempunyai kedudukan yang utama dalam masyarakat. Harta pusaka diperturunkan
melalui keturunan wanita, iaitu dari pihak ibu sebagai pengasas kepada anak
perempuannya. Suami tidak berhak memiliki harta. sekiranya Si ibu tidak mempunyai anak perempuan,
hartanya diwariskan kepada adik
perempuannya, atau adik-adiknya atau cucu-cucunya. Kaum lelaki hanya berhak ke atas urusan
pentadbiran keluarga.
Berbanding dengan Adat
Perpatih, Adat Temenggung
mementingkan kaum lelaki dalam
pembahagian atau warisan harta kerana pengaruh hukum Islam. Ini bermakna adat Temenggung
mementingkan jurai keturunan sebelah
bapa. Jika berlaku penceraian maka pembahagian harta suami-isteri dilakukan
mengikut hukum syarak, contohnya harta sepencarian bagi isteri yang diceraikan
dibahagikan dua sama banyak, jika isteri yang diceraikan itu tidak bekerja
harta hendaklah dibahagikan 1/3 kepada isteri. Bagi harta asal suami atau
isteri maka ia dibahagikan mengikut
hukum adat iaitu dikembalikan kepada suami atau isteri berkenaan.
3.
Sosial (5m)
Dari segi
sosial adat perpatih mengamalkan hidup secara bersuku-suku, iaitu mereka hidup
secara berkeluarga di mana ahli-ahlinya
terdiri daripada satu ikatan sedarah dan sedaging. Setiap suku menggunakan nama
tertentu seperti Biduanda, Batu Hampar,
Paya Kumbuh, Mungkal, Tiga Nenek dan lain-lain.
Dari aspek perkahwinan masyarakat Adat Perpatih mengamalkan eksogami, iaitu perkahwinan
dengan suku yang sama tidak dibenarkan sama sekali, perkahwinan mestilah dari
suku yang berlainan. Ini kerana ahli-ahli dalam suku dianggap bersaudara. Si
suami digelar semenda. Selepas berkahwin si suami mesti mengikut isteri . Jika
berlaku penceraian maka si suami tidak mempunyai hak ke atas anak kerana anak
akan berada dalam kelompok rumpun ibu.
Berbanding
Adat Perpatih, Adat Temengung susunan kekeluargaan sebelah ayah dan ibu sama penting. Adat ini
juga membenarkan perkahwinan dengan sesiapa sahaja asalkan tidak bercanggah dengan
hukum syarak, sesuai dengan individu dan
dipersetujui oleh ahli keluarga. Untuk itu perkahwinan dengan orang yang
mempunyai pertalian darah dibenarkan seperti dibenarkan oleh syarak. Dalam Adat
Temenggung lelaki akan menjadi ketua keluarga.
4.
Undang-undang (5m)
Dari aspek pelaksanaan
undang-undang, Adat Perpatih
mementingkan penyelesaian pesalah dan mangsa berpuas hati terhadap
keputusan yang dibuat. Hukuman penjara, mencacatkan atau mencederakan tidak
digalakkan. Hukuman adalah bertujuan membaiki keadaan (pemulihan) dan tidak
bertujuan menghukum pesalah. Undang-undang jenayah bertimbang rasa dan
berperikemanusiaan. Seseorang yang
membuat salah akan didenda mengikut kesalahannya yang mana mangsa akan diberi
ganti rugi. Jika berlaku pembunuhan, keluarga orang yang terbunuh akan dibayar
ganti rugi yang besar.
Adat Temenggung pula pelaksanan
undang-undangnya bertujuan untuk menghukum. Pelaksanaan hukuman dilakukan
dengan tegas dengan tujuan untuk memberi iktibar kepada orang lain dan
merupakan pembalasan kepada si pesalah. Hukuman paling berat ialah bunuh.
Hukuman ini dikenakan ke atas kesalahan berat seperti membunuh, menfitnah, mencuri, tidak menurut
perintah raja dan menderhaka. Pelaksana undang-undang adalah raja dan pembesar. Pembesar boleh menjatuhkan
semua hukuman kecuali hukuman mati yang hanya boleh dijatuhi oleh raja
Kesimpulan (2/3m)
Adat
Perpatih dan Adat Temenggung masih berjalan sehingga British campur tangan di
Tanah Melayu pada tahun 1874. Namun campurtangan British di negeri-negeri Melayu
telah menyebabkan berlaku perubahan yang besar dan memberi kesan kepada kedua-dua adat berkenaan. Selepas
campurtangan British sultan tidak lagi berkuasa mutlak, sultan juga telah
kehilangan hak melantik pembesar. Begitu juga pembesar. Sistem undang-undang
kedua-dua adat mulai tidak penting kerana British menggantikannya dengan
undang-undang barat.
SOALAN 3
Jelaskan
gerakan penentangan terhadap pentadbiran Syarikat Borneo Utara British (SBUB)
dari tahun 1894 hingga 1915
Pendahuluan
(3/2m)
Syarikat Borneo Utara British (SBUB) telah
dibentuk pada tahun 1881. Pentadbiran Sabah di bawah SBUB diketuai oleh Gabenor
iaitu Gabenor William Hood Treacher. Gabenor dibantu oleh Majlis Penasihat
dalam menguruskan pentadbirannya di Sabah. Pada tahun 1935, SBUB telah
membahagikan Sabah kepada empat residensi, iaitu Residensi Pantai Barat.
Sandakan, Tawau dan Pendalaman. Setiap residensi diketuai oleh seorang residen
berbangsa Eropah. Perubahan-perubahan pentadbiran yang dilakukan oleh SBUB
telah mengugat peranan dan kedudukan pembesar tradisional dan akhirnya membawa
kepada tercetusnya gerakan penentangan
Isi (20m)
1. Penentangan Mat Salleh (10m)
Penentangan Mat Salleh telah bermula pada tahun 1894. Mat Salleh telah
mengetuai beberapa gerakan untuk menentang pemerintahan SBUB disebabkan mereka
telah mencabar kewibawaannya sebagai seorang pembesar. Mat Salleh juga tidak
berpuas hati dengan pembaharuan yang diperkenalkan oleh SBUB . Antaranya ialah
pihak SBUB telah menyerang dan membakar kampung Mat Salleh di Sungai Sugut
untuk membalas dendam terhadap Mat Salleh yang telah membuat aduan tentang wujudnya
pergaduhan antara pegawai Inggeris dan orang Iban. Pihak SBUB juga telah
mengenakan pelbagai jenis cukai yang berbentuk penindasan tanpa memikirkan bebanan
yang ditanggung oleh rakyat, contohnya cukai kepala, cukai beras, dan lesen
perahu.
Pada tahun 1894, pengikut-pengikut Mat Salleh telah membunuh dua orang
pedagang Dayak di Sungai Sugut. Pada tahun 1895, pihak SBUB pula bertindak
balas dengan menyerang kampung Mat Salleh di Pulau Jambongan lalu Mat Salleh
dan pengikutnya telah melarikan diri ke Lingkabau dan mendirikan kubu
pertahanan di situ. Setelah itu, pada tahun 1897 Mat Salleh serta pengikutnya
memusnahkan pusat pentadbiran British di Pulau Gaya. Hal ini menyebabkan pihak
SBUB sekali lagi menyerang Inanam dan memusnahkannya. Manakala kubu yang dibina
Mat Salleh juga telah dimusnahkan oleh pihak SBUB.Tetapi Mat Salleh berjaya
melarikan diri. Akhirnya satu pertemuan antara pihak SBUB dan Mat Salleh
diadakan di Menggatal. Pihak SBUB bersetuju mengampunkan pengikut Mat Salleh
manakala Mat Salleh juga dibenarkan menetap dan berkuasa di Tambunan. Namun
begitu , pihak SBUB tidak menepati janji dengan mengambil kembali Tambunan pada
tahun 1893. Hal ini telah mencetuskan pertempuran sengit antara Mat Salleh dan
juga tentera SBUB. Mat Salleh akhirnya terbunuh dalam pertempuran itu.
2. Penentangan Antanom (10m)
Pada tahun 1915, pihak SBUB sekali lagi menghadapi tentangan yang dikenali
sebagai “Pemberontakan Rundum”. Penentangan
ini berlaku di Rundum yang diketuai oleh seorang pembesar Murut yang dikenali
sebagai Antanom. Orang Murut menentang kerana tidak berpuas hati dengan
pentadbiran SBUB. Antara faktor berlakunya penentangan ialah disebabkan oleh pihak SBUB cuba mengawal
kegiatan membuat tapai dengan mengenakan cukai ke atas beras dan ubi kayu. Pihak
SBUB juga cuba menghapuskan amalan memburu kepala yang merupakan tradisi kaum
Murut. Selain itu, pihak SBUB juga memaksa orang Murut membina jalan di kawasan
pedalaman tanpa dibayar gaji. Mengikut kepercayaan orang Murut ,pembinaan jalan
itu boleh menimbulkan kemarahan nenek moyang mereka.
Antanom serta orang Murut menyerang dan membakar Persiangan serta
Rundum. Bagaimanapun Bandar Rundum dapat diselamatkan oleh tentera SBUB.
Kemudian Antanom bersama 900 orang
pengikutnya telah membina kubu di Sungai Selangit. Hal ini menyebabkan pihak
SBUB telah menghantar tentera untuk menyerang Antanom di Selangit. Dalam
serangan itu, Antanom dan 400 orang pengikutnya telah terkorban. Pengikutnya
yang terselamat dalam pertempuran itu telah berpindah ke Kalimantan.
Kesimpulan (2/3m)
Kesimpulannya, gerakan penentangan yang dilakukan oleh penduduk pribumi
terhadap SBUB di Sabah telah berjaya dipatahkan. Walaupun SBUB berjaya
menghadapi penentangan daripada penduduk tempatan namun ia secara langsung
menjelaskan bahawa pengenalan sistem pentadbiran Barat di Sabah tidak disenangi
oleh penduduk tempatan
SOALAN 4
Terangkan peranan golongan
berpendidikan agama dalam mencetuskan kesedaran sosial di Tanah Melayu pada
awal abad ke-20
Pendahuluan
(3/2m)
Gerakan kesedaran
yang pertama digerakkan oleh mereka yang berpendidikan agama dari Timur Tengah.
Mereka menerima pengaruh dan ilham dari gerakan Reformis Islam yang diketuai
oleh Syed. Jamaluddin al-Afghani dan Syeikh Muhammad Abduh. Kaum
Muda bermatlamat untuk memajukan bangsa Melayu berasaskan perjuangan
agama Islam. Lidah rasmi yang pertama bagi
Kaum Muda ialah al-Imam. Antara para pemimpin umatnya ialah Syeikh Tahir
Jalaluddin, Syed Syeikh Ahmad al-Hadi, Hj. Abbas bin Mohd Taha dan Syeikh Mohd.
Salim al-Kalali. Selain itu golongan berpendidikan pondok yang dikenali sebagai
Kaum Tua juga berperanan dalam mencetuskan kesedaran sosial di Tanah Melayu
pada awal abad ke-20
Isi (20m)
Ø
Matamat
perjuangan Kaum Muda ialah memajukan kaum Melayu berasaskan ajaran Islam yang
sebenar iaitu berpandukan al-Quran dan
hadis. Mereka bermatlamat untuk membebaskan orang Melayu dari amalan-amalan
taklid buta serta amalan khurafat serta bidaah. Semua amalan inilah yang
menghalang kemajuan orang Melayu. Pengamalan Islam yang sebenarnya merupakan
jawapan kepada segala masalah sosial, ekonomi dan politik yang dihadapi oleh
orang Melayu.
Ø
Kaum
Muda menekankan kepentingan sistem pendidikan bagi kemajuan orang
Melayu. Pendidikan adalah kunci kepada
kemajuan. Kaum Muda melihat pendekatan pendidikan dari sudut yang lebih
liberal. Pendidikan dalam kalangan kaum perempuan juga dipentingkan. Selain
menekankan kepentingan pendidikan agama, pendidikan bercorak moden seperti
penekanan bahasa Inggeris juga dititikberatkan.
Ø
Di
dalam aspek politik Kaum Muda bersikap anti penjajah dan bersikap tidak mahu
bekerjasama. Kaum Muda mengacak
penjajah Inggeris kerana gagal memberikan
pendidikan yang cukup dan seterusnya memajukan orang Melayu.
Ø
Kaum Muda juga bersifat anti birokrasi elit
Melayu. Raja-raja dan para pembesar Melayu diingatkan supaya memelihara
kepentingan orang Melayu. Mereka diseru
agar melakukan sesuatu seperti menubuhkan persatuan bagi menggalakkan pendidikan
dan pembangunan ekonomi. Kaum Muda turut menuntut orang Melayu menceburkan diri
dalam bidang perniagaan, menubuhkan
koperasi dan menggunakan sistem kemudahan di bank.
Ø
Kaum
Muda menjadikan akhbar dan majalah sebagai saluran perjuangan mereka. Antaranya
ialah Al-Imam. Al-Imam diterbitkan di
Singapura bulan Julai 1906. Ia satu penerbitan bulanan
dan dihentikan penerbitannya pada Disember 1908. Tujuan al-Imam ialah untuk
mengingatkan mana yang lalai dan menjagakan mana yang tidur dan menunjukkan
mana yang sesat dan menyampaikan suara yang menyeru dengan kebajikan kepada
mereka (orang Melayu ).
Ø
Selain itu tedapat juga akhbar dan majalah lain yang
menjadi medan kepada idea dan penulisan Kaum Muda, Neraca
(Singapura, 1911-1915), AI-Ikhwan (Pulau Pinang,
1926-1931), Saudara
(Pulau Pinang, 1928-1941), dan Edaran
Zaman (Pulau Pinang, 1925-30).
Ø
Selain akhbar dan majalah Kaum Muda juga menjadikan masjid
dan surau sebagai saluran perjuangan mereka. Antaranya ialah Madrasah Al-lkbal
yang dibuka pada 21 November 1907. Melalui madrasah ini, mata pelajaran yang
bukan bersifat keagamaan seperti bahasa Inggeris, bahasa Melayu, Matematik,
Geografi, dan Sejarah telah diperkenalkan bersama mata pelajaran bersifat
keagamaan.
Ø
Madrasah-madrasah lain yang turut diasaskan oleh Kaum Muda
ialah seperti Madrasah AlHadi (Melaka 1917), Madrasah Muhammadiah (Kota Bahru
1917), dan Madrasah Al-Diniah (Kg Lalang Perak, 1924)
Ø
Idea perjuangan Kaum Muda mendapat tentangan daripada
golongan yang berpendidikan pondok. Golongan
ini dikenali sebagai Kaum Tua.
Kaum Tua kerap mengkritik Kaum Muda melalui
akhbar Lidah Benar dan Suara Benar. Kaum Muda telah dianggap sebagai
kurang ajar dan tidak bertata susila. Kaum Tua menentang Kaum Muda kerana
kegiatan dan idea-idea Kaum Muda ini menggugat kedudukan mereka sebagai elit
agama di dalam masyarakat Melayu sama ada di peringkat negeri mahupun di
peringkat kampung-kampung.
Ø
Para mufti telah mengeluarkan fatwa yang mengutuk Kaum Muda
sebagai kafir dan Qadiani. Kaum muda telah dilarang untuk.
berkhutbah dan memberi syarahan di masjid. Terdapat beberapa penerbitan Kaum Muda
yang diharamkan penyebarannya di beberapa negeri.
Kesimpulan (2/3m)
Kesimpulannya,
Kaum Muda memainkan peranan penting dalam mencetuskan kesedaran sosial dalam
kalangan orang Melayu. Biarpun idea dan seruan Kaum Muda kerap dikritik oleh
Kaum Tua, namun sumbangan kedua-dua golongan ini sebenarnya sangat bermakna
SOALAN
5
Bincangkan kesan-kesan pendudukan Jepun
di Tanah Melayu antara tahun 1942 hingga 1945
Pendahuluan (3/2)
Jepun telah menawan seluruh Tanah Melayu pada 15 Februari
1942. Kemusnahan dua buah kapal perang British iaitu H.M.S Repulse dan Prince
Of Wales dengan penggunaan tentera
‘Kamikaze’ ( Berani Mati ), telah melemahkan semangat tentera British. Leftenan Jeneral Percival menyerah kalah
secara rasmi kepada Jepun. Maka bermulalah zaman pemerintahan tentera Jepun di
Tanah Melayu. Walaupun tempoh masa
pendudukan Jepun singkat sahaja iaitu tiga tahun lapan bulan, namun pendudukan
Jepun meninggalkan kesan yang sangat penting kepada penduduk tempatan baik dari
aspek politik, sosial dan ekonomi.
Isi (20m)
1. Kesan-kesan sosial (7m)
Ø
Pihak Jepun telah menjalankan dasar
layanan yang berbeza terhadap kaum-kaum di Tanah Melayu. Jepun memberi layanan yang cukup buruk
terhadap orang Cina kerana dendam orang Jepun terhadap orang-orang Cina di
Tanah Melayu yang membantu negara China ketika berlakunya Perang China-Jepun
pada tahun 1895. Akibatnya ramai orang Cina telah melarikan diri ke
pinggir-pinggir hutan dan membentuk MPAJA (Malayan People Anti Japanese Army) untuk
menentang Jepun.
Ø
Kaum Melayu dan India diberi layanan
baik tetapi ramai antara mereka juga dihantar ke Siam untuk membina Jalan
Keretapi Maut. Akibatnya ramai orang
Melayu, India dan Cina telah terkorban dalam pembinaan tersebut akibat seksaan
dan wabak penyakit. Merosotnya taraf kesihatan telah menyebabkan merebaknya
penyakit-penyakit tropika seperti beri-beri, taun dan malaria. Ubat-ubat yang dibawa oleh Jepun hanya
dikhaskan untuk askar-askar Jepun sahaja.
Ø
Perbezaan layanan kaum ini telah mewujudkan
permusuhan kaum khususnya antara Melayu
dan Cina. Contohnya pihak Jepun telah
menggunakan orang Melayu yang menyertai pasukan tentera dan polis Jepun untuk
mengesan orang Cina yang anti-Jepun. Ini
menimbulkan rasa curiga dan permusuhan antara orang Melayu dengan orang Cina
setelah Jepun menyerah kalah.
Ø
Sistem pendidikan Inggeris juga turut
ditukar kepada sistem pendidikan Jepun.
Bahasa Jepun iaitu ‘Nippon-go’ diwajibkan sebagai bahasa pengantar di
semua sekolah dan juga sebagai lingua franca di seluruh negara. Sistem
pendidikan Jepun menekankan beberapa aspek seperti pembentukan akhlak dan
disiplin, taat setia kepada Maharaja Jepun dan kepatuhan kepada kerajaan Jepun.
Kebudayaan Jepun disebarkan melalui sistem pendidikan Jepun. Orang tempatan diajar adat istiadat dan lagu
kebangsaan Jepun, iaitu ‘Kamigayo’.
2. Kesan-kesan politik (7m)
i. Nasionalisme orang Melayu
Ø
Pendudukan Jepun telah menamatkan
tradisi kepercayaan bahawa kuasa-kuasa Barat merupakan kuasa yang tidak boleh
dikalahkan. Ini telah menyemarakkan lagi
kebangkitan dan kesedaran kebangsaan di kalangan penduduk Tanah Melayu.
Ø
Langkah pertama pendudukan Jepun yang
membangkitkan perasaan nasionalisme dalam kalangan orang Melayu ialah dengan
membebaskan ahli-ahli Kesatuan Melayu Muda (KMM) yang telah dipenjarakan oleh
Inggeris dan memulihkan kembali KMM di bawah pimpinan Ibrahim Yaacob.
Ø
KMM kemudiannya telah diharamkan oleh
Jepun pada tahun 1942 apabila disyaki mengadakan hubungan sulit dengan MPAJA.
Jepun telah menubuhkan PETA ( Pembela Tanah Air ) bagi menarik perhatian
orang-orang Melayu. Anggotanya terdiri
daripada bekas pegawai KMM. Ibrahim
Yaacob dilantik sebagai Leftenan Kolonel. PETA juga telah mengadakan hubungan
sulit dengan MPAJA dan tentera Wataniah.
Ø
Di saat-saat Jepun menyedari
kekalahannya, Jepun menolong kaum Melayu
menubuhkan Kesatuan Rakyat Indonesia Semenanjung (KRIS) pada bulan Julai 1945.
KRIS dipimpin oleh Ibrahim Yaacob dan Dr Burhanuddin Al-Helmy. Walaupun orang
Melayu tidak berjaya mencapai kemerdekaan di bawah Jepun, namun semangat
nasionalisme telah berjaya menarik orang Melayu untuk bersatu terutamanya dalam
menentang Malayan Union.
ii.
Nasionalisme orang India
Ø
Perhatian kaum India telah dialihkan
kepada pembebasan India daripada penindasan oleh penjajahan Inggeris. Orang
India telah menubuhkan Liga Pembebasan India di bawah pimpinan Subhas Chandra
Bose. Beliau juga telah menubuhkan
Tentera Nasional India (INA) untuk membantu Liga Pembebasan India. Kedua-dua pertubuhan ini telah menguasai keadaan
politik orang India di Tanah Melayu.
Orang-orang India telah dikerah menyertai Tentera Nasional India.
Ø
Orang India digalakkan supaya memberikan
bantuan kewangan dan harta untuk menyokong gerakan pembebasan India daripada
penjajahan Inggeris. Subhas Chandra Bose yang dalam buangan telah mendirikan
sebuah kerajaan yang bergelar ‘Azad Hind’ di Singapura. Ia telah menyahut slogan “Chalo Delhi” (Mara
ke Delhi). Penggunaan slogan ini menaikkan
lagi semangat nasionalisme dalam kalangan orang India. Bagaimanapun kekuatan INA dan Liga Pembebasan India telah merosot
apabila Jepun menyerah kalah.
iii. Nasionalisme orang Cina
Ø
Permusuhan antara orang Jepun dan Cina telah
bermula sejak Jepun telah menawan China pada tahun 1937. Apabila Jepun berjaya menakluki Tanah Melayu
dan Singapura pada bulan Febuari 1942, ramai orang Cina telah dibunuh.
Ø
Tindakan ini telah menyebabkan orang
Cina merasakan pihak Jepun mengamalkan dasar diskriminasi. Keadaan ini mendatangkan kesan buruk terhadap
perkembangan nasionalisme di Tanah Melayu,
contohnya tindakan ini merupakan titik permulaan permusuhan antara orang
Cina dan orang Melayu.
Ø
Parti Komunis Malaya (PKM) telah
menggunakan sentimen anti Jepun untuk memperoleh sokongan orang Cina untuk
menentang Jepun di Tanah Melayu. PKM telah menubuhkan Malayan Peoples
Anti-Japanese Army (MPAJA) yang dianggap sebagai gerakan mewakili semua bangsa
di Tanah Melayu. MPAJA telah diberikan
latihan oleh Sekolah Latihan Khas 101 di bawah pimpinan Kolonel Spencer Chapman
serta dibekalkan senjata, ubat-ubatan, maklumat dan bahan makanan oleh tentera
Berikat melalui ‘Force 136’ yang berpusat di Sri Lanka.
Ø
MPAJA mengadakan hubungan sulit dengan
PETA dan melancarkan perang gerila terhadap pihak Jepun. Jepun telah mengambil
langkah untuk menarik minat orang Cina berfahaman sederhana yang kebanyakannya
tinggal di bandar untuk bekerjasama dengan pemerintahan Jepun.
Ø
Pihak Jepun telah menubuhkan beberapa
kelab seperti Epposho bagi masyarakat Cina di Pulau Pinang pada tahun
1944. Ramai orang Cina dilantik di dalam
Majlis Penasihat di peringkat bandar dan negeri mulai tahun 1943.
3.
Kesan-kesan ekonomi (6m)
Ø
Dasar
‘bumi hangus’ yang diamalkan oleh British sebelum berundur
dari Tanah Malayu ke Singapura telah menyebabkan ekonomi Tanah Melayu merosot
kerana banyak kemudahan awam seperti infrastruktur telah diletupkan oleh
tentera British. Begitu juga dengan
perusahaan bijih timah dan getah turut merosot kerana kemusnahan alat-alat
melombong seperti kapal korek dan alat-alat memproses getah.
Ø
Akibat peperangan, perdagangan Tanah
Melayu dengan pasaran-pasaran luar telah terputus. Perdagangan Singapura dan Pulau Pinang telah
merosot kerana Tanah Melayu tidak dapat mengeksport dan mengimport sebarang
bahan.
Ø
Jepun mengamalkan sistem ekonomi sara diri dan memaksa rakyat menanam
tanam-tanaman makanan seperti ubi kayu, keledek dan keladi untuk mengatasi
masalah kekurangan makanan.
Ø
Perusahaan-perusahaan tempatan didirikan
untuk menghasilkan barang-barang gantian seperti minyak masakan, sabun, gula,
tayar, kertas, tali dan benang. Perusahaan-perusahaan penting diambil alih oleh
syarikat-syarikat Jepun seperti Mitsui dan Mitsubishi.
Ø
Percetakan mata wang ‘pokok pisang’ yang tidak terkawal
serta kekurangan bahan-bahan pengguna menyebabkan keadaan inflasi dengan harga-harga barang melambung tinggi dan nilai
matawang Jepun menjunam jatuh.
Kesimpulan (2/3m)
Zaman pendudukan Jepun di Tanah
Melayu merupakan satu detik penting dalam sejarah tanah air kerana telah banyak
mendatangkan kesan positif dan negatif. Pengunduran
Jepun dari Tanah Melayu pada September 1945 adalah disebabkan pengeboman dua
bandar penting di Jepun iaitu Hiroshima dan Nagasaki. Selepas tamat Perang Dunia Kedua British
telah kembali ke Tanah Melayu dan memperkenalkan Malayan Union.
SOALAN 6
Huraikan
penglibatan Malaysia dalam pertubuhan serantau, Komanwel dan Pertubuhan
Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dari tahun 1957 hingga tahun 1963.
Pendahuluan (3/2m)
Dasar luar sesebuah negara bertujuan
mempertahankan kedaulatan dan kemerdekaan negara serta menentukan kesejahteraan
sosioekonomi negara tercapai. Sebagai sebuah negara yang baru mencapai
kemerdekaan seperti Tanah Melayu, kepentingan negara, keselamatan serantau,
perpaduan antara negara-negara serta kesejahteraan sejagat merupakan fokus
utama dalam perhubungan serantau. Dalam tempoh 1957-1963 yang begitu singkat,
Tanah Melayu telah terlibat dalam pertubuhan serantau seperti Persatuan Asia
Tenggara (ASA), MAPHILINDO, Pertubuhan Komanwel dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Isi (20m)
1. Southeast Asian Friendship and Economic Treaty
(SEAFET) (4m)
Januari 1959
semasa lawatan rasmi ke Filipina, Tunku Abdul Rahman telah mengumumkan
pembentukan Perjanjian Ekonomi dan Persahabatan Negara-Negara Asia Tenggara
(SEAFET) hasil rundingannya dengan Presiden Filipina Carlos P.Garcia. SEAFET
dianggotai oleh Tanah Melayu dan Filipina.
Negara jiran seperti Indonesia, Thailand, Kemboja, Loas, Vietnam Selatan
dan Myanmar dijemput untuk menyertai pakatan SEAFET tetapi mendapat sambutan
dingin. Walaupun Thailand dan Vietnam Selatan mengalu-alukan penubuhan SEAFET
tetapi Indonesia menolak undangan menyertai pertubuhan itu kerana Malaysia dan
Filipina dikatakan mempunyai hubungan dengan penjajah. Filipina menjadi anggota
SEATO (Southeast Asia Treaty Organisation) dan Malaysia mempunyai perjanjian
dengan AMDA (Perjanjian Pertahanan Anglo-Malaya). Indonesia berpendapat selagi
ada negara di Asia Tenggara yang menyertai pakatan pertahanan sedemikian,
negara itu tidak akan dapat berperanan dengan bebas.
2. Persatuan
Asia Tenggara ( ASA ) (4m)
Ø Selepas
Perang Dunia Kedua, rantau Asia Tenggara dijadikan kawasan tumpuan perebutan
kuasa-kuasa Barat yang terlibat dalam Perang Dingin. Ancaman komunis turut
terasa oleh kebanyakkan rakyat negara
Asia Tenggara seperti Tanah Melayu,Thailand, Filipina, Indonesia dan Vietnam.
Ekonomi negara rantau ini masih berbentuk kolonial. Pembentukan satu pakatan
kerjasama serantau seperti kerjasama dalam ekonomi, kebudayaan dan sosial perlu
untuk menangani masalah yang sedang dihadapi. Dengan ini ASA yang dianggotai
oleh Tanah Melayu, Thailand, dan Filipina dibentuk pada Ogos 1961 di Bangkok.
Ø Antara
maklumat ASA seperti menggalakkan kerjasama dalam bidang ekonomi, kebudayaan
dan sosial, mewujudkan keamanan dan keselamatan serantau, mempertingkatkan
pengajian berkaitan Asia Tenggara.
Ø Rombongan
kebudayaan antara negara, pertukaran tenaga pengajaran antara universiti, kegiatan pelancongan, perjanjian
penerangan antara anggota ASA diaturkan.
Ø ASA
hanya mencapai matlamat terhad dengan dianggotai oleh 3 buah negara. Pembentukan Malaysia pada tahun 1963 dikecam
oleh Indonesia dan Filipina sehingga hubungan diplomatik Malaysia-Indonesia dan
Filipina terputus.
3. MAPHILINDO (4m)
Ø Pakatan
kerjasama serantau kedua ditubuhkan pada Ogos 1963 bertujuan mengadakan
hubungan kerjasama dalam bidang ekonomi, kebudayaan, kemasyarakatan serta
mencari jalan menamatkan persengketaan berkaitan penubuhan Malaysia.
Ø MAPHILINDO memohon Suruhanjaya PBB ( Suruhanjaya Michealmore ) meninjau
semula pandangan penduduk Sabah dan Sarawak terhadap pembentukan Malaysia. Namun begitu Indonesia dan
Filipina enggan menerima hasil tinjauan tersebut. Konfrontasi tercetus antara
Malaysia dengan Indonesia sehingga terputus hubungan diplomatik. Tuntutan Filipina ke atas Sabah membawa
kepada kegagalan hubungan diplomatik kedua-dua negara dan membawa kepada
pembubaran MAPHILINDO.
4. Penglibatan
Malaysia dalam Komanwel (4m)
Ø
Malaysia menyertai pertubuhan ini sebaik
sahaja mencapai kemerdekaan. Komanwel begitu bermakna kepada Malaysia memandangkan
Malaysia amat bergantung kepada bantuan
Britain dalam soal pertahanan dan keselamatan. Perjanjian Pertahanan
Britain-Tanah Melayu membolehkan bantuan tentera kepada Tanah Melayu dalam
membanteras ancaman komunis dan ancaman luar.
Ø
Rancangan Colombo yang menyediakan
bantuan biasiswa membolehkan pelajar-pelajar Malaysia melanjutkan pelajaran ke
negara Komanwel. Bantuan kewangan dan bantuan kepakaran turut diberikan kepada
Tanah Melayu.
Ø
Tanah Melayu turut memberi sumbangan
kepada Komanwel dalam teknologi getah. Kecaman Tanah Melayu terhadap amalan
Dasar Apertheid telah mengakibatkan Afrika Selatan tersingkir dari Komanwel
pada tahun 1961.
5. Penglibatan Malaysia dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsar
Bersatu (4m)
Ø
Tanah Melayu diiktiraf sebagai negara
berdaulat di peringkat antarabangsa
setelah diterima menjadi anggota PBB ke-82 pada 17 September 1957.
Ø
Malaysia terlibat secara aktif dalam PBB
untuk tujuan keamanan dunia, misalnya pada tahun 1957, Tanah Melayu mengecam
tindakan Republik Rakyat China kerana
menakluki Tibet. Pada tahun 1961, Malaysia menghantar pasukan tentera menyertai
pasukan perdamaian PBB ke Congo ( kini Republik Zaire ) untuk mengekalkan
keamanan dan mendamaikan perang saudara (1960 – 1963 ). Pelbagai faedah
diterima oleh Malaysia melalui agensi-agensi PBB seperti Bank Dunia, FAO,
UNESCO, ILO dan lain-lain.
Kesimpulan
(2/3m)
Malaysia telah menganggotai pertubuhan-pertubuhan serantau dan
antarabangsa dan telah berjaya memainkan peranannya secara berkesan dan
sistematik. Sememangnya Malaysia telah berjaya melaksanakan tanggungjawabnya
sebagai anggota pertubuhan serantau dan antarabangsa secara berkesan. Malaysia banyak mendapat faedah dari
pertubuhan serantau dan antarabangsa untuk membangunkan ekonomi dan menstabilkan
pertahanan negara.
SOALAN 7
Huraikan sistem pembesar di China dan Jepun sebelum perluasan pengaruh Barat.
Pendahuluan
(3/2)
Institusi
pemerintahan kemaharajaan di China dan Jepun turut disokong oleh golongan
pembesar. Para pembesar berperanan
sebagai pembantu dan pelaksana arahan maharaja. Para pembesar di Jepun terdiri
daripada Shogun, Samurai dan Daimyo, manakala di China pembesar terdiri
daripada hulubalang dan sarjana.
Isi:
(20m)
A.
Pembesar di Jepun (10m)
Ø
Pemerintahan
sebenar berada di tangan Shogun ( hulubalang ) yang memerintah atas nama
maharaja. Pemerintahan di Jepun ialah
bersifat Bakufu, iaitu dipegang oleh Shogun. Maharaja masih dianggap sebagai ketua negara,
tetapi kuasa sebenar kerajaan berada di bawah pengaruh pembesar, terutamanya
golongan Shogun. Shogun dibantu oleh
para pembesar bergelar Daimyo (Penguasa Agung Tanah Bebas) Semasa pemerintahan
Keshogunan Tokugawa, Jepun dibahagikan kepada beberapa daerah. Setiap daerah
akan dikurniakan kepada Daimyo oleh Shogun. Setiap Daimyo diberi kuasa penuh
untuk memerintah dan mentadbir wilayahnya.
Daimyo boleh dipecahkan kepada tiga peringkat, iaitu Daimyo Shimpan,
Daimyo Fudai dan Daimyo Tozama.
Ø
Daimyo
Shimpan terdiri daripada kaum kerabat Shogun dan diberi peranan mentadbir di
peringkat pusat. Daimyo Fudai terdiri
daripada kalangan bangsawan dan sangat setia kepada Shogun. Mereka ditempatkan
di wilayah tengah. Daimyo Tozama ialah
keturunan bangsawan dan diberi wilayah selatan dan barat yang terletak jauh
dari pusat pentadbiran Shogun. Ini dilakukan bagi menjamin kedudukan Shogun.
Ø
Setiap
Daimyo mempunyai golongan pahlawan yang bergelar Samurai. Golongan ini sanggup
berjuang demi mempertahankan Daimyo masing-masing. Golongan Samurai akan membawa dua bilah
pedang sebagai lambang ketinggian kelasnya serta mempunyai kod etika sendiri.
B. Pembesar di China (10m)
Ø
Golongan
pembesar dibahagikan kepada pembesar pusat dan wilayah.
1. Pembesar pusat
Ø
Golongan
sarjana merupakan pegawai kanan kepada maharaja di peringkat pentadbiran pusat.
Mereka menjalankan tugas pentadbiran atas arahan Maharaja. Golongan ini dipilih berdasarkan kelulusan
tertinggi dalam sistem peperiksaan awam yang berkisar tentang teks klasik
Confucius.
Ø
Mereka
mempunyai tanggungjawab dalam kementerian-kementerian penting dan terlibat dalam penggubalan dasar kerajaan, misalnya,
mereka menyertai Imperial Secretariat
dan bertanggungjawab menggubal dasar negara. Dasar yang digubal akan
dilaksanakan oleh pembesar wilayah atau pegawai di Jabatan Hal-Ehwal Negara.
Ø Segala dasar
yang bersifat umum untuk kepentingan kerajaan dibentuk di pusat, tetapi
pembesar wilayah dibenarkan untuk mengubah dasar tersebut dengan kebenaran adat
istiadat dan keadaan setempat. Terdapat
enam jabatan yang dibentuk semasa pemerintahan Dinasti Manchu.
2. Pembesar wilayah
Ø Terdapat juga
golongan tentera yang dilantik sebagai pembesar wilayah. Ini untuk memastikan
wilayah tersebut sentiasa aman dan tenteram serta patuh terhadap kerajaan
pusat.
Ø Pembesar daripada
golongan tentera atau hulubalang dikenali sebagai Tushun atau Ketua Tentera Wilayah.
Mereka berkuasa dalam wilayah masing-masing serta sering bertindak
sendirian. Mereka berhak mewujudkan
sistem pentadbiran sendiri dalam hal-hal seperti pengutipan cukai, pertahanan
dan perundangan. Mereka mempunyai tentera sendiri yang setia dan lengkap.
Mereka mampu membiayai angkatan tentera tersebut kerana penguasaan ekonomi
terhadap wilayah yang mereka kuasai.
Ø Selain
golongan tentera, terdapat juga pembesar wilayah yang dilantik daripada
golongan bijak pandai lulusan pendidikan Confucius. Golongan ini ialah pembesar tempatan atau
gentri yang membantu pembesar wilayah.
Gentri lebih merupakan tuan tanah. Mereka tidak dibayar gaji dan tidak
memegang sebarang jawatan dalam kerajaan.
Mereka boleh bertukar wilayah dan lebih berminat menjalankan perniagaan
keluarga. Mereka juga merupakan orang perantara antara pembesar dan rakyat
kerana mereka mempunyai pengaruh yang kuat ke atas masyarakat tempatan.
Kesimpulan (2/3m)
Para
pembesar merupakan aset penting dalam sistem pemerintahan di sesebuah negara termasuklah
di Jepun dan China. . Mereka memainkan peranan penting dalam membantu maharaja
terutamanya dalam menentukan kelicinan pentadbiran. Dinasti Manchu dan Shogun Tokugawa mewujudkan
sistem pembesar untuk melicinkan pentadbiran dan mengagihkan tugas-tugas
pemerintahan.
SOALAN
8
Jelaskan kegiatan ekonomi komersial di
Filipina dan Jepun sebelum Perang Dunia Kedua.
Pendahuluan (3/2m)
Kehadiran kuasa-kuasa Barat di Asia
telah membawa banyak perubahan dalam
semua aspek politik, sosial dan ekonomi.
Sebelum Perang Dunia ke-2, kegiatan ekonomi komersial memang giat
dijalankan termasuklah di Filipina dan Jepun. Di Filipina, kegiatan ekonomi
komersial yang dijalankan dapat dibahagikan kepada dua zaman iaitu zaman
pentadbiran Sepanyol dan zaman pentadbiran Amerika Syarikat. Manakala di Jepun, kegiatan ekonomi komersial
muncul dengan aktif selepas Jepun mula membuka pintunya kepada pihak Barat
melalui Perjanjian Kanagawa dengan Amerika Syarikat (1854).
Isi (20m)
A.
Kegiatan ekonomi komersil di Filipina (10m)
i. Tebu
Ø
Tebu menjadi tanaman jualan pertama yang
dieksport. Semasa pemerintahan Sepanyol,
ia menjadi salah satu keluaran utama dalam ekonomi penjajahan. Pertumbuhan
perdagangan tebu di Manila berlaku selepas pembukaan Manila kepada perdagangan dunia.
Ø
Semasa pemerintahan Amerika Syarikat
(hingga tahun 1941) pengeluaran tebu meningkat 6 kali ganda dan pada tahun 1930
kedudukannya kukuh sebagai bahan eksport utama Filipina.
Ø
Peningkatan berlaku kerana beberapa
sebab seperti penggunaan kaedah dan teknologi moden, dasar tarif Amerika
Syarikat terhadap Filipina dan pembinaan jalan kereta api baru menuju ke arah
utara Manila dan memajukan tanah Pampangan.
ii. Tembakau
Ø
Tembakau juga merupakan eksport penting
Filipina terutamanya semasa pemerintahan Sepanyol. Kawasan penanaman tembakau
ialah di Lembah Gaganpan, Ilocos, Nueva Ecija dan Marinduque.
Ø
Penanaman tembakau dimonopoli oleh
kerajaan dan keuntungan daripada monopoli ini berjaya mengatasi masalah
kewangan Sepanyol. Berlaku penindasan
dan penyalahgunaan kuasa. Sistem
monopoli ini melahirkan satu amalan tanaman paksa yang kejam.
Ø
Wujud pasaran gelap, kegiatan rusuhan
dan penyeludupan. Akhirnya, pada tahun
1882 monopoli ini ditamatkan. Tanaman tembakau mula mengalami kemerosotan
ketara pada akhir tahun 1930 apabila nilai eksportnya hanya 0.75% daripada
keseluruhan nilai ekonomi. Ini
disebabkan oleh sistem tarif Amerika Syarikat, pengenalan tembakau Virgina
Amerika dan orang Filipina lebih suka tembakau Amerika.
iii. Abaka
Ø
Muncul sebagai tanaman jualan utama di
Filipina selama 40 tahun selepas kemerosotan tembakau. Peningkatan permintaan
datang dari Amerika Syarikat sehingga abaka menjadi bahan eksport utama selepas
tahun 1830. Menjelang tahun 1850-an,
abaka dihantar ke New England untuk diproses menjadi tali sementara pada masa
yang sama sebuah kilang tali-temali yang kecil kepunyaan orang Amerika telah
didirikan di Manila
Ø
Pusat pengeluaran utama adalah di
wilayah Bicol di Albay, Sorsogon, Leyte dan Samar. Abaka mula menjadi tanaman
utama apabila Amerika Syarikat mengambil alih kuasa di Filipina. Pada
tahun1941, keluaran abaka lebih kurang 95% daripada jumlah keluaran dunia. Filipina dapat mempertahankan kedudukannya
sebagai satu-satunya pengeluar abaka untuk pasaran dunia.
Ø
Perdagangan abaka ditentukan oleh tarif
yang dikenakan. Mengikut Akta Pyne
Aldrich pada tahun 1909, abaka yang dieksport ke Amerika Syarikat bebas
daripada cukai.
iv. Kelapa
Ø
Tanaman keempat penting di Filipina
ialah kelapa yang merupakan tanaman asli Filipina. Ia digunakan sebagai sumber makanan dan
bahan bakar.
Ø
Menjelang abad ke-20, hasil kelapa
menjadi eksport utama Filipina. Kawasan
penanaman kelapa ialah Luzon, Manila dan sekitar Teluk Lagoon hingga ke pantai
Tayabas. Pulau Visayas dan Mindanao yang
terletak jauh ke selatan turut menjadi pusat penanaman kelapa yang penting.
B.
Kegiatan ekonomi komersil di Jepun (10m)
Ø
Jepun telah menjalankan dasar buka pintu
apabila termeterainya perjanjian
Kanagawa dengan Amerika Syarikat pada tahun1854. Mereka mula mengambil kira sistem-sistem
yang diamalkan oleh Barat sama ada sistem ekonomi, sosial mahupun politik.
Ø
Kemunculan Meiji untuk memodenkan Jepun
mengikut acuan Barat telah menjadi faktor penting kemunculan Jepun sebagai
kuasa yang kuat kemudiannya. Sistem ekonomi Jepun mula diubah. Sektor pertanian mula menerima kemasukan
elemen-elemen baru yang diambil dari Barat.
Revolusi pertanian telah membolehkan sektor ini mencapai kejayaan yang
cemerlang.
Ø
Meskipun Jepun hanya mempunyai jumlah
tanah subur yang kecil, namun dengan bantuan teknologi ini, maka ia masih lagi
dikira mampu mengeluarkan hasil untuk keperluan penduduk.
Ø
Menyedari bahawa sektor perindustrian
merupakan sektor penting, maka ia dimajukan.
Sektor industri pembinaan kapal misalnya menerima perhatian yang besar. Kapal-kapal yang mengikut Barat telah dibina
pada tahun 1855 dan dengan bantuan kewangan daripada Perancis, pusat pembinaan
kapal di Yokosuka telah dibuka pada tahun 1865.
Ø
Adanya teknologi serta kemampuan membina
kapal ini telah menyebabkan Jepun kemudiannya muncul sebagai kuasa kelautan
yang penting di Asia Timur. Berdasarkan kepada perkembangan-perkembangan di
Jepun, sistem Barat telah diambil dan diubah suai mengikut kepentingan negara
tersebut. Malah pengubahsuaian inilah
yang banyak membantu Jepun muncul sebagai kuasa ekonomi pada abad ke-20.
Ø
Kemampuan mereka keluar dari ‘negara
peminjam kepada negara pemberi pinjaman’ pada abad ke-20 itu merupakan satu
catatan sejarah kecemerlangan yang sangat menakjubkan bagi sebuah Negara Asia.
Ø
Meskipun demikian, pengambilan sistem
serta elemen-elemen ekonomi Barat itu tidak diambil begitu sahaja, sebaliknya
dipastikan bahawa budaya tempatan seperti budaya kerja, sikap dan sebagainya
yang menjadi asas kepada masyarakat Jepun itu juga berjalan seiringan.
Kesimpulan (2/3m)
Kehadiran
Barat telah memberi pengaruh yang cukup besar dalam perkembangan sistem ekonomi
bersifat komersial di Asia Tenggara, Asia Selatan dan Asia Timur, khususnya
Filipina yang pernah dijajah oleh dua kuasa besar iaitu Sepanyol dan Amerika Syarikat. Begitu juga dengan Jepun, ekonominya berkembang pesat bila bermulanya
dasar buka pintu pada 1854. Selepas era penjajahan berakhir, negara-negara Asia
Tenggara masih meneruskan polisi yang diamalkan sejak sekian lama iaitu dengan
menjadikan sektor pertanian sebagai sektor penting. Manakala Jepun lebih tertumpu kepada sektor
perindustrian
SOALAN 9
Terangkan
langkah-langkah yang dilakukan
oleh Raja Chulalongkorn (1868-1910) di Thailand dan Raja Mindon Min ( 1853-1878) di Myanmar dalam
usaha memodenkan negara masing-masing.
Pendahuluan
(3/2m)
Raja
Chulalongkorn telah ditabalkan menjadi Raja Thailand pada tahun 1868. Raja
Chulalongkorn mendapat pendidikan Barat dan telah banyak membuat lawatan ke
beberapa buah negara seperti India, Singapura dan Myanmar. Beliau telah
meneruskan langkah-langkah pemodenan yang dilakukan oleh Raja Mongkut dalam
pentadbiran negara, hubungan luar dan ekonomi. Manakala Raja Mindon Min telah
ditabalkan menjadi Raja Myanmar pada bulan Februari 1853. Sebelum menjadi raja,
Raja Mindon Min merupakan seorang sami Buddha yang sangat taat dengan ajaran
Buddha. Beliau merupakan seorang raja yang berkebolehan dan mempunyai sifat-sifat
terpuji, malahan beliau dihormati oleh orang Barat.
Isi (20m)
A. Pemodenan Raja Chulalongkorn (10m)
Ø Langkah
pemodenan Raja Chulalongkorn dalam pentadbiran ialah menubuhkan sistem
pentadbiran pusat pada 1 April 1892. Beliau telah mewujudkan kementerian yang
diketuai oleh seorang menteri. Antara kementerian yang diwujudkan ialah
Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Kewangan dan Kementerian Pertahanan.
Chulalongkorn masih meneruskan tradisi bapanya iaitu menggaji
penasihat-penasihat Barat, contohnya Rolin Jacquernins berbangsa Belgium
(penasihat am) dan penasihat Kementerian Kewangan berbangsa Inggeris. Raja
Chulalongkorn telah mewujudkan perbendaharaan moden di Thailand dengan bantuan
Penasihat Kewangan Inggeris. Sistem cukai langsung telah diperkenalkan pada
tahun 1892.
Ø Thailand
dibahagikan kepada 18 buah monthon (bulatan), changwat (wilayah) dan amphoe
(daerah). Beberapa buah jabatan telah diwujudkan seperti Jabatan Kastam dan
Jabatan Hasil Dalam Negeri. Dalam bidang undang-undang, Kementerian Keadilan
telah ditubuhkan pada tahun 1894, bersamaan dengan penubuhan sistem mahkamah
jenayah dan awam yang berunsurkan Barat.
Raja Chulalongkorn telah menyusun sistem penjara dan memodenkan pasukan
polis.
Ø Daripada segi
ekonomi antara langkah yang telah dilaksanakan ialah menubuhkan bank-bank
British di Bangkok pada tahun 1888-1894. Chulalongkorn telah menggalakkan
perluasan kawasan penanaman padi. Sehubungan dengan itu, kerajaan telah
mengurangkan cukai ke atas sawah-sawah padi, melaksanakan projek pengairan dan
pembinaan jalan kereta api. Usaha tersebut telah membuahkan hasil yang lumayan
apabila nilai eksport beras Thailand telah meningkat daripada 1.8 juta pada
tahun 1870, kepada 14.7 juta pada tahun 1905. Chulalongkorn turut menggalakkan
perdagangan asing dengan menerima pelabur Barat terutamanya Britain.
Ø Raja
Chulalongkorn telah meneruskan polisi luar negara yang telah diamalkan oleh
Raja Mongkut. Thailand telah menandatangani perjanjian diplomatik dengan negara
Belgium, Itali, Sweden, Norway dan Jerman. Chulalongkorn telah menyerahkan
wilayah-wilayah naungannya kepada kuasa Barat untuk mengekalkan kemerdekaannya,
misalnya menyerahkan Laos, Kemboja kepada Perancis dan negeri-negeri Melayu Utara
kepada British. Raja Chulalongkorn telah menjalin hubungan peribadi dengan
raja-raja di Eropah, misalnya dengan maharaja William 11 di Jerman, Tsar
Nicholas 11 dari Rusia.
Ø Dalam aspek
pendidikan, Raja Chulalongkorn telah membuat beberapa pemodenan seperti
pembinaan sekolah untuk kaum bangsawan dan rakyat biasa. Untuk melahirkan
golongan cerdik pandai di Thailand, Chulalongkorn telah menghantar seramai 300
orang pelajar ke luar negara untuk melanjutkan pelajaran. Jabatan Pendidikan
dan Maktab Perguruan telah ditubuhkan. Kemajuan dalam bidang pendidikan begitu
terserlah dengan kewujudan sekolah-sekolah aliran Inggeris, contohnya pada
tahun 1890-an terdapat tiga buah sekolah Inggeris di Thailand.
B. Pemodenan Raja Mindon Min (10m)
Ø Raja Mindon
Min pula telah berjaya mengekang penguasaan pihak Barat secara kekerasan
terhadap Myanmar. Mindon Min telah menjalankan dasar pintu terbuka kepada
British dan Perancis. Beliau berusaha untuk menjalinkan hubungan baik dengan
British, dengan harapan British akan mengembalikan wilayah Pegu kepada Myanmar.
Bagi tujuan tersebut, Mindon Min telah menghantar perwakilan pada tahun 1853
untuk bertemu dengan kerajaan Britain. Satu perjanjian telah dimeterai meliputi
hubungan diplomatik dan perdagangan. Melalui perjanjian tersebut, Myanmar
membenarkan British menggunakan kemudahan di Myanmar. Mindon Min menjalin
hubungan dengan Perancis untuk mengurangkan tekanan yang diterima daripada
British. Pada tahun 1873, Mindon Min telah membuat perjanjian dengan Perancis.
Ø Mindon Min
telah memperbaiki sistem ekonomi dengan memperkenalkan sistem cukai yang
baharu. Dalam usaha tersebut, beliau telah memperkenalkan cukai Thatemenda pada
tahun 1862, iaitu cukai yang dibayar oleh setiap keluarga kecuali yang
berkhidmat dengan raja. Beliau turut memperkenalkan sistem mata wang yang berdasarkan
nilai perak. Kilang untuk mengeluarkan wang telah didirikan oleh kerajaan. Di
samping itu, Mindon Min berusaha untuk mempelbagaikan sumber ekonomi Myanmar
supaya tidak bergantung sepenuhnya kepada sumber pertanian. Kilang-kilang telah
didirikan. Selain itu sektor perlombongan khususnya lombong arang batu dan
bijih besi juga dimajukan. Walau bagaimanapun usaha beliau tidak mendapat hasil
yang memberansangkan kerana kekurangan kepakaran teknikal dan pengetahuan dalam
bidang tersebut. Malahan Myanmar menghadapi masalah kekurangan sumber kewangan
untuk mengolah sumber mineralnya. Mindon Min turut memajukan sektor perkapalan
untuk menjana pertumbuhan ekonomi dan memperbaiki sistem perhubungan Myanmar.
Contohnya dengan penubuhan syarikat perkapalan Irawaddy, banyak kapal telah
dibeli untuk mengembangkan operasi syarikat perkapalan tersebut.
Ø Mindon Min
turut menjaga kebajikan rakyat khususnya pendidikan dan kemudahan
infrastruktur. Beliau telah mengembangkan pendidikan dan ajaran agama Buddha.
Dalam usaha tersebut, beliau telah membina komplek pagoda di Kuthodaw sebagai pusat pendidikan dan pengembangan agama Buddha. Beliau
telah menjadikan Mandalay sebagai pusat pendidikan agama Buddha di Myanmar.
Mindon Min telah memajukan infrastruktur khususnya jalan perhubungan untuk
memudahkan rakyatnya bergerak ke sesuatu tempat. Ini terbukti dengan
pengwujudan syarikat perkapalan milik negara.
Ø Kesimpulan (2/3m)
Sebagai
kesimpulannya, langkah pemodenan yang telah dilakukan oleh Raja Chulalongkorn
di Thailand dan Raja Mindon Min di Myanmar telah berjaya membangunkan negara
masing-masing. Polisi berbaik-baik dengan kuasa Barat oleh kedua-dua raja
berjaya mengurangkan ketegangan dengan pihak Barat. Namun apa yang jelas sikap
toleren Raja Chulalongkorn telah berjaya menyelamatkan negaranya daripada
dijajah berbanding dengan kedegilan Raja Mindon Min dalam mempertahankan adat
tradisinya yang membawa kepada tercetusnya Perang Inggeris-Myanmar ke-3 dan
akhirnya seluruh Myanmar dikuasai oleh British
SOALAN 10
Huraikan faktor-faktor yang mencetuskan Revolusi China 1911 dan Revolusi
Siam 1932
Pengenalan ( 3/2 m )
Revolusi China yang berlaku pada
tahun 1911 dan Revolusi Siam pada tahun 1932 tidak bertujuan untuk mengusir
penjajahan Barat; sebaliknya merupakan
peristiwa penentangan yang berpunca daripada rasa tidak puas hati rakyat
terhadap pemerintah di negara masing-masing. Kedua-dua revolusi ini telah
digerakkan oleh golongan intelektual yang merasakan pembaharan perlu dilakukan
untuk membangunkan negara dan ianya mendapat sokongan luas daripada golongan
massa. Revolusi China dipimpin oleh Dr. Sun Yat Sen dan Kang Yu Wei sementara
Revolusi Siam diketuai oleh Pridi Panomyong.
Isi (20 m)
A. Faktor-faktor Yang Mencetuskan Revolusi China 1911 (10m)
i. Kelemahan
pemerintahan Manchu
Ø Revolusi
ini bertujuan untuk menggulingkan pemerintahan Dinasti Manchu yang
dianggap oleh rakyat sebagai lemah dan
telah kehilangan mandat dari tuhan untuk terus memerintah China. Kelemahan
kerajaan Manchu bermula dengan kekalahan China kepada Inggeris dalam Perang
China-Inggeris Pertama (Perang Candu 1) pada tahun 1839-1842, dan kalah sekali lagi dalam Perang
Inggeris-China Kedua (Perang Candu 2) pada tahun 1856.
Ø Kekalahan
China dalam kedua-dua peperangan itu yang diikuti dengan termeterainya perjanjian-perjanjian berat sebelah
menyebabkan pintu negara China dibuka secara paksa oleh kuasa-kuasa Barat,
keadaan huru hara, masalah rasuah dan inflasi yang meruncing. Keadaan ini
menyebabkan tercetusnya beberapa gerakan penentangan seperti Pemberontakan
Taiping (1850-1864), Pemberontakan Panthay (1885), Pemberontakan Nien
(1853-1868), serta munculnya gerakan kongsi-kongsi gelap seperti White Lotus
Society (Kumpulan Teratai Putih) dan Tried Society (Kumpulan Bertiga
Syurga). Kedaaan ini telah menelan perbelanjaan yang banyak sehingga
menyebabkan masalah kewangan. Tambahan pula, Putera Kung yang dilantik sebagai
pemangku raja selepas kemangkatan Maharaja Kuang-Hsu pada tahun 1908 merupakan
seorang raja yang tidak berwibawa dan gagal menstabilkan keadaan politik dan
ekonomi China.
ii. Kesengsaraan hidup rakyat
Ø Majoriti
rakyat China adalah petani yang mendiami wilayah-wilayah di selatan China
terutamanya Kwangsi dan Kwantung. Bilangan penduduk China telah meningkat
dengan pesat kepada lebih 400 juta orang menjelang awal abad ke-20. Ini
menimbulkan masalah kekurangan tanah pertanian dan meningkatnya pengangguran. Kehidupan
petani tambah menderita akibat bencana alam terutamanya banjir dan kemarau
seperti yang berlaku di Ahnwei, Chiking dan Shantung yang mengurangkan hasil
pertanian. Kerajaan Manchu juga banyak berhutang dengan negara barat seperti
Rusia dan Peranchis bagi membayar gantirugi perang. Bagi meningkatkan
pendapatan kerajaan, kadar cukai telah ditingkatkan dan ini menambahkan lagi
beban rakyat. Keadaan ini meningkatkan kemarahan rakyat kepada kerajaan Manchu.
Rakyat menyalahkan kerajaan Manchu yang dianggap ‘penyebab’ kesengsaraan hidup
rakyat.
iii. Pencerobohan kuasa Barat
Ø Kemasukan
orang Barat ke China telah memberi kesan negatif kepada aspek perdagangan dan
keagamaan. Masyarakat China merasakan untuk menjadi maju mereka perlu menerima
idea-idea daripada Barat dan disesuaikan di China. Malangnya idea ini tidak
disenangi oleh pemerintah Manchu lalu melaksanakan dasar tutup pintu. Pada
waktu yang sama, Jepun telah membenarkan Dr. Sun Yat Sen menubuhkan Tung Meng
Hui semasa di Jepun dan memberikan penerangan serta mendorong orang Cina di
seberang laut untuk menyokong gerakan revolusioner.
iv. Penguasaan ekonomi oleh kuasa asing
Ø Termeterainya
beberapa siri perjanjian seperti Perjanjian Nanking (1842), Perjanjian Bogue
(1844) dan Perjanjian Tientsin (1858) di antara China dan Inggeris selepas
kekalahan China dalam Perang Candu pertama dan kedua telah membuka ruang kepada
kuasa-kuasa Barat menceroboh wilayah dan menguasai ekonomi China. Akibatnya
kuasa Barat seperti British, Perancis, Rusia dan Amerika Syarikat telah
menguasai pelabuhan-pelabuhan utama di China dan bandar utama Peking. Menerusi
perjanjian ini juga, China kehilangan punca kewangannya kerana terpaksa
membayar pampasan perang kepada kuasa Barat dan Timur. Contohnya Perjanjian
Shimonoseki yang ditandatangani bagi menamatkan Perang Jepun-China (1894-1895)
memaksa China membayar gantirugi
sebanyak 450 juta tael kepada Jepun.
v. Peranan golongan intelektual
Ø
Golongan terpelajar seperti Dr. Sun Yat
Sen telah memainkan peranan penting dalam mempengaruhi masyarakat dan meniupkan
semangat nasionalisme mengenai kelemahan pemerintahan Manchu. Usaha ini telah
menyumbang secara langsung kepada meletusnya Revolusi China 1911.
vi. Kemudahan sistem perhubungan
Ø Kemudahan
sistem perhubungan yang terdapat di China seperti rangkaian jalan keretapi,
jalanraya, perkhidmatan pos, telegraf dan media cetak telah mempercepatkan lagi
penyebaran sentimen anti-Manchu. Dr. Sun
Yat Sen sendiri misalnya pernah menerbitkan akhbar Min Pao atau The People
untuk menyemarakkan lagi semangat nasionalisme dan revolusi.
vii. Isu pembinaan jalan keretapi
Ø Tindakan
kerajaan Peking meminjam wang dari Britain, Jerman, Amerika Syarikat dan Perancis
untuk membina jalan keretapi yang
menghubungkan Hankow-Szechwan diprotes oleh pemerintah wilayah Kwantung, Hunan,
Hupen dan Szechwan. Mereka bimbang dan marah kerana terpaksa menanggung beban
hutang tersebut Pinjaman itu juga dilihat sebagai bertambahnya dominasi
kuasa-kuasa Barat ke atas China. Akibatnya tercetus beberapa rusuhan di wilayah-wilayah
terbabit yang menyebabkan sentimen anti-Manchu semakin memuncak.
B. Faktor-faktor Yang Mencetuskan Revolusi
Siam 1932 (10m)
i. Kelemahan pemerintahan Raja Vajiravudh
(Rama VI 1910-1925)
Ø
Zaman pemerintahan Vajiravudh (Rama VI
1910-1925) menyaksikan pelbagai kelemahan dan masalah pentadbiran. Usaha
Vajiravudh cuba memperkukuhkan semula sistem raja berkuasa mutlak dan institusi
diraja dilihat sebagai satu langkah anakronis berbanding pemerintahan Mongkut
dan Chulalongkorn sebelumnya. Akibatnya tercetus percubaan rampasan kuasa untuk
menggulingkan baginda dalam Pemberontakan R.S. 130 tetapi gagal.
Ø
Vajiravudh juga bersikap pilih kasih
apabila baginda menubuhkan Kong Sua Pa (Pasukan Harimau Liar / Wild Tiger
Corps) yang membangkitkan kemarahan angkatan tentera sedia ada. Sepanjang
tempoh pemerintahannya, Vajiravudh banyak menerima kecaman terhadap pendekatan
politik dan peribadinya. Rasa tidak puas
hati dalam kalangan pegawai dan rakyat timbul kerana tidak menyukai cara
baginda menggantikan pegawai-pegawai berkebolehan dan setia dengan
pegawai-pegawai berpangkat rendah dan kurang berpengalaman.
Ø
Vajiravudh juga kurang mengambil berat
tentang tugas dan tanggungjawabnya sebagai Perdana Menteri kabinetnya,
sebaliknya lebih suka meluangkan masa dengan kegiatan sastera, seni dan drama.
Dasar kewangan dan ekonomi yang dilaksanakan oleh Vajiravudh juga mengakibatkan
keadaan ekonomi yang hampir muflis. Sir Edward Cook Penasihat Kewangan Siam
melaporkan bahawa ketidakcekapan Vajiravudh dalam urusan kewangan dan sikap
borosnya dalam membiayai aktiviti-aktiviti kesenian dan sastera merupakan punca
utama kemerosotan ekonomi Siam pada tahun 1925.
ii. Kelemahan pemerintahan Raja
Prajadhipok (Rama VII 1925-1935)
Ø Pada
masa pemerintahan baginda, masalah ekonomi dan kewangan Siam kian meruncing
antara tahun 1913-1925 dalam mana perbelanjaan negara meningkat sehingga 50%
berbanding pendapatan hanya sekitar 25%. Dasar retrenchment (berjimat
cermat) yang dilaksanakan Prajadhipok dengan memotong gaji pegawai dan
mengurangkan jumlah kakitangan serta mengenakan cukai baru untuk memulihkan
ekonomi Siam ternyata kurang disenangi oleh pegawai kerajaan dan rakyat amnya.
Ø Tindakan
Prajadhipok membubarkan Pasukan Harimau Liar yang telah ditubuhkan oleh
Vajiravudh telah menimbulkan kemarahan di kalangan anggota tentera berkenaan
yang kehilangan pekerjaan. Rasa tidak puas hati golongan tentera terbukti
apabila mereka melancarkan percubaan menggulingkan Prajadhipok pada tahun 1912
dan 1917 tetapi gagal.
iii. Dasar pilih kasih Prajadhipok
Ø Baginda
juga dituduh bersikap diskriminasi dengan melantik golongan kerabat diraja
menjawat jawatan-jawatan tinggi kerajaan
sehingga mengabaikan rakyat yang berpendidikan. Baginda cenderung mempercayai
golongan diraja sahaja dalam membantu pemerintahan negara melalui penubuhan
kementerian. Misalnya pada tahun 1925, baginda telah menubuhkan Majlis
Penasihat yang dianggotai oleh putera-putera diraja. Ini telah membangkitkan
semangat penentangan terhadap institusi diraja.
iv. Peranan golongan berpendidikan Barat
Ø Idea
pembaharuan politik, ekonomi dan sosial Siam dicetuskan oleh Profesor Nai Pridi
Panomyong yang mendapat sokongan golongan berpendidikan Barat seperti Mejar
Phibul Songkram iaitu Ketua Turus Angkatan Tentera Siam. Mereka terpengaruh
dengan idea demokrasi Barat dan anti kuasa mutlak raja serta sistem monarki
yang dianggap telah ketinggalan zaman dan menghalang kemajuan. Golongan ini
juga merasakan hak mereka untuk menjawat jawatan yang setaraf dengan kelulusan
mereka telah dinafikan kerana kebanyakan jawatan penting didominasi oleh
golongan aristokrat.
v. Perselisihan antara golongan pemerintah
/ istana
Ø Imej
golongan diraja / istana di mata rakyat mula terjejas pada tahun 1931 akibat
perselisihan di antara Putera Bovaradej (Menteri Pertahanan) dengan Putera
Purachatra (Menteri Perdagangan). Perselisihan berkisar mengenai langkah
penyelesaian masalah ekonomi Siam. Bovaradej mencadangkan kenaikan gaji untuk
golongan tentera tetapi ditolak oleh Prajadhipok.
vi. Peranan Parti Rakyat
Ø Pemimpin
Parti Rakyat seperti Pridi Panomyong, Pya Bahul dan Phibul Songkram telah
melancarkan satu cop de’tat (rampasan kuasa tanpa pertumpahan darah)
pada 26 Jun 1932 ketika Prajadhipok berada di luar negara. Sekembalinya baginda
dua hari selepas pemberontakan, baginda telah bersetuju untuk menerima
perlembagaan yang diusulkan oleh Parti Rakyat. Peristiwa ini menandakan
berakhirnya sistem pemerintahan monarki
atau raja berkuasa mutlak di Siam.
Kesimpulan ( 2/3 m )
Revolusi China dan Revolusi Siam
merupakan dua peristiwa revolusi yang tercetus akibat daripada rasa tidak puas
hati rakyat terhadap sistem pemerintahan beraja yang dianggap mengongkong
pembaharuan dan pembangunan politik, ekonomi dan sosial di negara
masing-masing. Bezanya di China,
revolusi ditujukan kepada menggulingkan pemerintahan Dinasti Manchu yang
merupakan sebuah kerajaan asing yang berasal dari Manchuria; manakala di Siam,
golongan revolusioner bertujuan menamatkan absolutisme pemerintahan beraja
Dinasti Chakri khususnya Prajadhipok. Kebangkitan golongan terpelajar berpunca
daripada kegelisahan terhadap kelemahan-kelemahan pentadbiran pihak pemerintah
yang menghakis kepercayaan rakyat terhadap institusi diraja.
SOALAN 11
Terangkan peranan
golongan agama dalam gerakan nasionalisme di Indonesia dan
Myanmar hingga awal
abad ke-20.
Pendahuluan (3/2m)
Peranan golongan agama dalam gerakan
nasionalisme di Indonesia telah dapat dikesan sejak awal abad ke-20 lagi dengan
munculnya pertubuhan yang berteraskan Islam seperti Sarekat Dagang Islam, Sarekat
Islam, Muhammadiyah dan Nahdatul
Ulama. Perkembangan nasionalisme
Indonesia boleh dibahagikan kepada beberapa peringkat iaitu gerakan sosio
ekonomi (1912-1921), gerakan politik revolusioner (1921-1927) dan sekular
sosiobudaya (1927-1942). Di Myanmar pula, golongan agama yang berteraskan ajaran Buddha
memainkan peranan penting dalam gerakan nasionalisme di negara berkenaan
terutamanya pada peringkat awal. Gerakan
ini telah diterajui oleh Persatuan Belia Buddha ( YMBA) dan golongan Pongyi.
Isi:
A.
Indonesia (10m)
Ø Pada peringkat awal gerakan
nasionalisme Indonesia, golongan agama khususnya ulama Islam sememangnya
memainkan peranan yang penting. Sarekat
Dagang Islam yang diasaskan oleh Haji Samanhudi memperjuangkan nasib para pedagang
batik Jawa daripada persaingan dan penindasan saudagar Cina dalam perusahaan
batik. Islam dijadikan alat penyatuan
rakyat Indonesia dan melaluinya pertubuhan ini dapat memberi kesedaran kepada
penduduk tentang penindasan kapitalis Cina di Indonesia.
Ø Pada tahun 1912, Sarekat Dagang Islam
bertukar nama kepada Sarekat Islam dan dipimpin oleh Omar Said
Tjokroaminato. Pertubuhan ini
mengekalkan Islam sebagai alat penyatuan umat Islam Indonesia. Dengan berteraskan Islam, pertubuhan ini telah mendapat sokongan penduduk Indonesia
untuk memperjuangkan nasib mereka daripada penindasan penjajah Belanda. Penyertaan rakyat Indonesia daripada pelbagai
lapisan menjadikan Sarekat Islam sebagai organisasi politik massa yang pertama
di Indonesia.
Ø Perjuangan Sarekat Islam yang bertunjangkan
agama Islam menyebabkan gerakan ini digeruni oleh penjajah Belanda. Sarekat Islam juga berjuang untuk
meningkatkan taraf sosioekonomi rakyat Indonesia. Sarekat Islam turut mengkritik Kerajaan
Belanda di Indonesia kerana gagal memperbaiki sosio-ekonomi rakyat
Indonesia. Pertubuhan ini turut
berperanan memperjuangkan pembaharuan dalam bidang pendidikan dengan mendesak
dihapuskan diskriminasi dalam kemasukan murid-murid ke sekolah malah menuntut
pendidikan wajib kepada anak-anak yang berumur di bawah 15 tahun.
Ø Sarekat Islam telah menuntut hak
berkerajaan sendiri dan ramai golongan nasionalis telah bergabung dengan
Sarekat Islam kerana perjuangannya yang bercorak politik. Pertubuhan ini juga menuntut penubuhan
majlis-majlis daerah dan perluasan kuasa Volksraad. Mulai tahun 1917, Sarekat
Islam mula memperjuangkan kemerdekaan penuh Indonesia termasuk mengancam akan
menggunakan kekerasan jika perlu.
Ø Selain Sarekat Islam, Muhammadiyah
yang ditubuhkan pada 1912 oleh Haji Ahmad Dahlan juga menggunakan agama Islam
sebagai landasan perjuangannya.
Pertubuhan ini memainkan peranan penting dalam gerakan awal nasionalisme
Indonesia dengan mempertahankan kesucian Islam dan menghadapi ancaman
penyebaran agama Kristian dan budaya
sekularisme dalam kalangan penduduk peribumi Indonesia.
Ø Pertubuhan ini juga memberi penekanan kepada usaha meningkatkan
kesedaran umat Islam tentang kemajuan dan pendidikan sebagai cara melepaskan
penduduk daripada belenggu penjajahan Belanda.
Pertubuhan ini telah terlibat dalam menubuhkan sekolah, klinik, masjid
dan perpustakaan. Namun begitu
perkembangannya agak lembab akibat tentangan daripada golongan ortodoks Islam.
Walau bagaimanapun kepopularan pertubuhan ini mula meningkat. Buktinya, bilangan
ahlinya hanya 24,000 orang pada tahun 1930 telah meningkat kepada 250,000 orang
pada tahun 1938. Pertubuhan ini juga
mula mengambilalih peranan gerakan reformis Islam daripada Sarekat Islam yang
mula merosot pada tahun-tahun 1920an.
Ø Nahdatul Ulama ditubuhkan oleh Kiai
Hasyim Asjari pada tahun 1926.
Pertubuhan ini berperanan membela dan mempertahankan keutuhan agama
Islam daripada ancaman penyebaran Kristian.
Pertubuhan ini mengendalikan sekolah-sekolah agama Islam yang bersifat
ortodoks, menjalankan kerja-kerja kebajikan dan membantu memajukan ekonomi
ahlinya. Walau bagaimanapun, berbanding
dengan Muhammadiyah, Nahdatul Ulama merupakan pertubuhan yang lebih ortodoks
dan bersikap prejudis terhadap kemajuan dan pendidikan Barat.
B. Myanmar (10m)
Ø Gerakan nasionalisme di Myanmar pada
peringkat awalnya lebih bersifat keagamaan.
Pertubuhan agama terawal ialah Sasanadara yang ditubuhkan pada 1897 dan
diikuti oleh Persatuan Agama Maktab Rangoon pada 1904. Gerakan ini semakin berkembang dengan
penubuhan Persatuan Belia Buddha (YMBA )
pada 1906 yang diasaskan oleh U May Oung.
Persatuan Belia Buddha merupakan pertubuhan berorganisasi pertama di
Myanmar dengan tujuan menyatukan nilai-nilai dan tradisi agama Buddha dengan
pendidikan barat.
Ø YMBA
memainkan peranan penting dalam gerakan nasionalisme pada tahun-tahun
19016-1920. Persatuan ini terlibat dalam
kegiatan politik disebabkan oleh kesengsaraan ekonomi akibat Perang Dunia Kedua
dan perkembangan pengaruh gerakan kebangsaan di India.
Ø Peranan YMBA dalam gerakan
nasionalisme awal di Myanmar dapat dilihat dalam konflik isu kasut (1916-1918),
menuntut sistem pemerintahan dua lapis (dyarchy) dilaksanakan dan bantahan terhadap akta
universiti. Akibat daripada tekanan tersebut,
British terpaksa menggubal undang-undang yang melarang pemakaian kasut dalam
pagoda, membuat pindaan terhadap akta universiti dan sistem pentadbiran dua
lapis turut dilaksanakan di Myanmar. Kejayaan ini menyebabkan YMBA semakin popular dalam kalangan rakyat
Myanmar. Kejayaan YMBA turut dipengaruhi
oleh kepimpinan nasionalis radikal seperti U Thei Maung yang bertindakan
melakukan pemulauan terhadap kerajaan British.
Ø Golongan Pongyi atau sami-sami Buddha
telah memainkan peranan penting dalam perjuangan kemerdekaan Myanmar sekitar
1916-1935. Kemerosotan pengaruh Sangha dan
sekolah agama Buddha membawa kepada penglibatan Pongyi dalam mengembalikan pengaruh dan kedudukan agama
Buddha dalam masyarakat. Pongyi turut
menyertai dan menyokong YMBA dalam isu kasut dan mogok pelajar. Walau bagaimanapun, Pongyi ternyata memainkan peranan penting dalam
gerakan nasionalisme Myanmar terutamanya di kalangan kaum petani . Pongyi turut menerbitkan akhbar Wunthanu
untuk menyebarkan idea-idea nasionalisme kepada penduduk.
Ø Perjuangan Pongyi kemudiannya berubah
menjadi radikal dan agresif dengan kemunculan U Ottama dan U Wisara. Mereka menuntut pemerintahan sendiri dan
menyeru penduduk menentang polis, mahkamah dan pengutip cukai. Agama
Buddha dijadikan sebagai alat untuk meraih sokongan rakyat.
Ø Pada tahun 1922, Pongyi menubuhkan parti
politik Sangha Samatggi yang dipimpin oleh U Ottama dan menyeru rakyat
memulaukan pembaharuan British. Antara tindakan Pongyi termasuklah menghasut
petani melancarkan kempen anti-cukai terhadap British dan menyebabkan petani
menyertai perjuangan menentang British. U Wisara menganjurkan kempen anti-cukai
di Tharawady pada 1926 dan akibatnya beliau telah ditangkap dan dipenjarakan.
Tindakan tersebut telah menyemarakkan lagi semangat nasionalisme di kalangan
rakyat.
Ø Peranan Pongyi semakin memuncak
apabila terbentuknya pakatan antara Sangha Samatggi dengan General Council of
Burma Association (GCBA). Perikatan ini
menentang British dan menuntut kemerdekaan.
Keputusan Suruhanjaya Simon mencadangkan pemisahan pentadbiran antara India dan Myanmar menyebabkan golongan
nasionalis Myanmar tidak sepakat dalam isu ini. Golongan Pongyi telah menyokong
kumpulan anti-pemisahan dengan menubuhkan Liga Anti-pemisahan yang dipimpin
oleh Dr. Ba Maw dan U Khaw Myint.
Ø Pongyi menentang pemisahan kerana
bimbang akan melambatkan proses kemerdekaan Myanmar. Peranan Pongyi jelas dalam Pemberontakan Saya
San atau Pemberontakan Tharawaddy (1930-1931).
Pemberontakan yang dipimpin oleh Saya San bertujuan menggulingkan
pentadbiran British di Myanmar dan memulihkan keagungan agama Buddha serta
berusaha mendapatkan semula tanah-tanah daripada ceti-ceti India. Walaupun pemberontakan ini gagal setelah Saya
San ditangkap dan dihukum mati pada 1931, namun begitu ia telah menyemarakkan lagi kebangkitan
semangat nasionalisme dalam kalangan penduduk Myanmar.
Kesimpulan 2/3m)
Berdasarkan huraian di atas dapatlah
dirumuskan bahawa faktor agama berperanan penting dalam gerakan nasionalisme di Indonesia dan
Myanmar. Di Indonesia, agama Islam
menjadi alat penyatuan dalam gerakan yang diterajui oleh Sarekat Dagang Islam,
Sarekat Islam, Muhammadiyah dan Nahdatul Ulama.
Di Myanmar pula, agama Buddha ternyata berperanan besar dalam gerakan
nasionalisme yang diterajui oleh YMBA dan Pongyi,
SOALAN 12
Huraikan dasar luar India dengan Mynamar dari tahun 1949 hingga 1963
Pendahuluan (3/2m)
Dasar luar merupakan instrumen bagi sebuah negara berinteraksi dengan negara
lain. Dasar ini memperlihatkan pendirian sesebuah negara samada ingin memainkan
peranan aktif atau pasif dalam dunia
dan kecenderungan pro barat atau
pro komunis. Dasar luar Myanmar yang
mencapai kemerdekaan pada tahun 1948 mempunyai persamaan dengan negara
jirannya India iaitu, mengamalkan dasar berkecuali. Dasar ini dilaksanakan demi menjaga kepentingan
dan kedaulatan negaranya.
Isi
A. Hubungan Luar India selepas merdeka (10m)
1.1
Menyertai Pertubuhan Bangsa-Bangsa
Bersatu (PBB)
Ø India telah menjadi anggota PBB sejak
tahun 1946 dan menganggotai banyak agensi PBB. Seorang rakyat India dipilih menjadi
pengarah Agung FAO pada tahun 1956, dan dilantik menjadi setiausaha ECAFE yang
pertama. Selain itu, ibu pejabat UNESCO dan UNICEF juga terletak di India.
Ø Ibu kota India, New Delhi juga sering
menjadi tuan rumah pelbagai persidangan antarabangsa dan ILO bagi rantau Asia
pada tahun 1957. India juga mengambil bahagian dalam perjanjian damai antara
Korea, Vietnam , Laos dan Kampuchea (Kemboja).
Ø Dalam bidang ketenteraan India pernah
menghantar pasukan pengaman ke Mesir pada tahun 1956, untuk menyertai pasukan
kecemasan PBB. Lebih 700 askar dihantar ke Conggo di bawah panji PBB untuk
mengawasi hospital tentera dan perkhidmatan komunikasi. Pada tahun 1961 India
menghantar 700 tentera ke lebih 24 buah negara di bawah program bantuan
teknikal PBB.
1.2
Hubungan diplomatik dengan negara-negara asing
Ø Hubungan diplomatik India dengan
negara asing bertujuan untuk mengeratkan hubungan perdagangan antarabangsa.
Perdagangan luar India melibatkan eksport bahan mentah dan bahan industri serta tekstil yang ditukar dengan barangan
mesin berat dan peralatan.
Ø Eksport terpenting India termasuklah
teh, dan jut yang merupakan 2/3 eksport India. Eksport lain seperti kain kapas,
besi keluli , peralatan pengangkutan, barangan elektrik, bahan kimia, beras dan lain-lain. Rakan dagang
India yang utama ialah Britain, Amerika Syarikat, Jerman, Rusia dan
lain-lain.
2. Hubungan Luar Myanmar selepas merdeka (10m)
Ø
Menganggotai Pertubuhan Bangsa-Bangsa
Bersatu. Dalam Perang Korea, Myanmar turut memainkan peranan dan bekerjasama
dengan PBB, iaitu terlibat secara tidak langsung dalam Perang Korea. Myanmar
telah bekerjasama dengan PBB untuk mencegah pencerobohan Korea Utara terhadap
Korea Selatan.
Ø
Dalam menyelesaikan masalah sempadan
dengan China, Myanmar telah mendapatkan bantuan PBB untuk memindahkan
tentera-tentera Kerajaan Nasionalis China di sempadan Myanmar kembali ke China.
Ø
Polisi luar negara Myanmar adalah dasar
berkecuali terutama dalam menghadapi
pertelingkahan Blok Barat dengan Blok Komunis dan telah menolak penyertaan
dalam pertubuhan SEATO. Myanmar di bawah Perdana Menteri U Nu telah menjalinkan
hubungan erat dengan banyak negara terutamanya negara-negara jiran. Myanmar
turut mengambil beberapa langkah perdamaian:
i.
Mengakui kedaulatan / mengiktiraf
Republik Rakyat China pada tahun 1949.
ii.
Membuat
perjanjian persahabatan dengan Indonesia, India dan Pakistan.
iii.
Membuat
lawatan muhibbah ke Bangkok pada 1954 dan turut meminta maaf kepada Thailand
atas sikap agresif Myanmar pada masa dahulu.
iv.
Myanmar
turut mengutuk keganasan yang dilakukan oleh Rusia ke atas Hungary serta
serangan sekutu Britain terhadap Mesir pada tahun 1956 selaras dengan piagam
PBB,iaitu memelihara keamanan sejagat.
Ø
Menjalinkan hubungan perdagangan dengan
Negara China, India, Amerika Syarikat dan negara-negara Asia Tenggara. Sebagai
sebuah negara bekas tanah jajahan British, Myanmar turut menyertai pertubuhan Komanwel.
Kesimpulan (2/3m)
Jelaslah bahawa dasar luar India dan Myanmar menjurus kepada
dasar berbaik-baik dengan semua negara bagi menjaga kepentingan dan keselamatan
ekonomi, politik,dan sosial negara
masing-masing. Namun yang jelas dasar luar India banyak dibayangi oleh isu Kashmir
yang membawa persengketaan berpanjangan dengan jirannya Pakistan dan isu ini
menjadi perhatian antarabangsa. Myanmar pula mula menutup pintunya kepada dunia
luar selepas pentadbiran negara berkenaan dikuasai oleh Junta Tentera.
No comments:
Post a Comment