NUFFNANG ADS

Monday, May 28, 2012

Masyarakat Islam di China



 JELASKAN PERKEMBANGAN MASYARAKAT ISLAM DI CHINA
                Menurut Ibnu Khaldun,tamadun merujuk kepada kumpulan manusia yang tinggal menetap di sesuatu tempat atau bandar dan seterusnya bandar tersebut berkembang maju dan makmur. Tamadun China wujud sejak 1800SM dan Islam masuk ke China pada abad ke-7 sama dengan abad pertama hijrah (622M). Negara China merupakan sebuah negara yang paling bertamadun di kawasan Asia Timur sebelum kedatangan Islam dan dianggap salah sebuah negara bertamadun dunia khususnya dalam bidang ilmu pengetahuan. Terdapat empat versi kedatangan Islam ke China.Pertama,pada zaman Thai Sung(627-655M),Islam dibawa ke China oleh Hamzah bin Hamzah iaitu anak Hamzah bin Abi Talib,sepupu Nabi Muhammad SAW. Beliau bersama 3000 orang Muhajirin telah pergi ke China dan menetap di kawasan San Gan Foo.Kedua,pada zaman Dinasti Tang,di bawah pemerintahan Maharaja Yung-Wei,satu utusan dari Tanah Arab pimpinan Saad bin Abi waqas bersama 15 orang mubaligh lain datang menghadap Maharaja Yung Wei. Kedatangan mereka disambut baik dan dibenarkan untuk menjalankan kegiatan dakwah dan tinggal di China. Sebagai bukti penerimaan masyarakat Cina pada Islam,sebuah masjid dibina di Ch’ang-an dan menjadi masjid tertua di China. Ketiga,menurut T.Y Ma(ahli sejarah tempatan),pemimpin dakwah Islam yang datang ke China ialah Saad bin Lubayd dan bukan Saad bin Abi Waqas. Beliau antara orang Islam yang berhijrah ke Habsyah pada zaman Nabi Muhammad SAW,kemudian belayar ke China dengan kapal dagang Arab di Aden. Beliau tiba di Canton pada 630M dan menjalankan dakwah di Chuan Chow,Chang Chow dan Canton.Beliau turut mendirikan sebuah masjid iaitu Masjid Kwang Tan Se.Keempat,hubungan perdagangan Arab dengan China sejak abad ke 4M.

            Amnya,agama Islam berkembang ke China melalui dua jalan,iaitu jalan laut dan jalan darat. Jalan laut bermula dari Teluk Parsi dan bahagian selatan Semenanjung Arab hingga Lautan Hindi dan seterusnya ke bandar-bandar tenggara China,khususnya Canton.Kebanyakan masyarakat yang menganut agama Islam melalui jalan laut adalah bermazhab Maliki. Jalan darat pula ataupun dikenali sebagai silk road (jalan sutera)  bermula dari Timur Mediterranean hingga ke Asia Tengah,Bukhara dan Samarkand sebelum masuk ke barat laut China dan berakhir di pasar Changan (Xi’an) dan Peking. Melalui jalan darat yang dinyatakan tadi,wujud komuniti Islam bermazhab Hanafi.

            Perkembangan masyarakat Islam di China juga dapat dilihat melalui pendatang Arab dan Parsi dalam aspek perdagangan. Pada peringkat awal,masyarakat Islam di China terdiri daripada para pendatang Arab dan Parsi. Tujuan asalnya adalah berdagang sambil menyebarkan Islam.Dalam sejarah Dinasti Sui (605-618 SM) dan Dinasti Tang (618-905 SM) ada catatan tentang ketibaan kapal-kapal dagang di Teluk Parsi,khususnya di Pelabuhan Siraf sekitar abad ke-5M. Catatan ini menyatakan bahawa orang Arab dikenali sebagai Hui Hui atau Ta-shih. Menurut J.C Van Leur pula,petempatan orang Arab di negara China sudah wujud sejak abad ke-4M . Ini bermakna sebelum kedatangan Islam lagi hubungan Arab-Cina sudah terjalin,khususnya sektor perdagangan.Orang Arab berdagang ke negara China melalui pelabuhan-pelabuhan di India,Ceylon,Kepulauan Melayu dan terus ke selatan negara China. Pelabuhan-pelabuhan ini juga digunakan oleh saudagar-saudagar Cina ketika itu untuk berdagang ke tanah Arab.Pada era Dinasti Sung (960-1279M),aktiviti perdagangan antara orang Arab dan orang Cina semakin meluas. Pada zaman ini,pedagang-pedagang asing telah diberikan perlindungan secukupnya oleh pemerintah di samping dibenarkan membuat perkampungan sendiri serta menjalankan aktiviti perdagangan secara bebas.Justeru,lebih ramai pedagang Islam datang ke negara China dan ketibaan mereka ini sudah pasti memesatkan lagi proses penyebaran agama Islam di negara China.

            Selain itu,perkembangan dapat dilihat dari aspek hubungan diplomatik.Hubungan awal ini mula berlaku pada zaman Khalifah Uthman bin Affan apabila Maharaja Kao Tsung (627-650M) cuba membantu Firuz bin Yezdegird III (632-651M),raja kerajaan Parsi yang telah ditewaskan oleh tentera Islam dan melarikan diri ke negara China.Melalui bantuan negara China,Firuz telah melancarkan serangan ke atas Khurasan yang berada di bawah pemerintahan Islam pada tahun 651M dan berjaya dipatahkan oleh tentera Islam pimpinan Ahnaf bin Qais al-Tamimi. Akibat serangan tersebut,Khalifah Uthman bin Affan telah mengirim perwakilan ke negara China untuk membantah tindakan tersebut dan seterusnya mengadakan hubungan diplomatik dengan negara China. Pada zaman Khalifah al-Walid bin Abdul Malik (705-715M),tentera Islam pimpinan Qutaybah bin Muslim telah berjaya memperluaskan jajahan takluk Islam di kawasan sebelah timur hingga ke negara China. Beliau berjaya memasuki Sinkiang dan mara ke Kansu.Pada tahun 713M,Qutaybah menghantar perutusan ke negara China bagi mengadakan hubungan persahabatan dengan Maharaja Hsuan Tsung (713-756M) dan diterima baik maharaja China. Sejak itu aktiviti dakwah Islam tersebar luas hingga ke seluruh negara China. Hubungan diplomatik Arab-Cina terus berlaku pada zaman Khalifah Hisyam bin Abdul Malik (724-743M) dimana Hisyam telah menghantar misi diplomatik ke negara China. Pada waktu itu penyebaran Islam di negara China semakin meluas hingga ke Shensi. Hubungan ini terus berlaku hingga ke zaman kerajaan Abbasiyah. Menurut catatan Dinasti Tang,terdapat sebanyak 37 kali perutusan diplomatik antara kerajaan Islam dengan kerajaan China sebelum abad ke-10M. Pada tahun 878M sudah terdapat seramai 120 000 orang asing yang terdiri daripada orang Arab,Parsi,Yahudi dan Nasrani. Kebanyakan orang Arab beragama Islam. Apabila Islam menjadi kuat dan berpengaruh,akhirnya terbentuklah beberapa buah kerajaan Islam di negara China.

            Islam di negara China turut berkembang melalui proses asimilasi iaitu pertembungan dua budaya yang berbeza. Kesan daripada aktiviti perdangangan pedagang Arab dan Parsi,mereka berkahwin dengan wanita-wanita tempatan dan seterusnya berasimilasi dengan penduduk tempatan. Akibatnya,ramai yang memeluk agama Islam. Pada zaman akhir Dinasti Yuan,penduduk Islam dianggarkan seramai 4 000 000 orang.
            Islam semakin berkembang di negara China dengan bukti terdapat penempatan masyarakat Islam. Penempatan orang Arab telah berkembang telah berkembang di kawasan selatan negara China seperti Chuan Chow,Chang Chow dan Kwang Chow (Canton). Pada zaman Dinasti Sung,mereka dibenarkan membuat perkampungan sendiri,berdakwah dan menjalankan aktiviti perdangangan secara bebas.

            Menurut Ibnu Battutah,sewaktu lawatannya ke negara China pada tahun 1324M,setiap perkampungan orang Islam di China mempunyai sebuah masjid.Sebagai contoh,Maharaja Huang Chu (Chu Yuan Chang) semasa Dinasti Ming telah mendirikan masjid jamik di Nanking. Di Nanking sahaja terdapat 36 buah masjid dan berfungsi sebagai pusat ibadat,pusat kegiatan ilmu dan tempat pertemuan masyarakat. Kesannya,aktiviti dakwah telah berkembang dengan pesat.Di pinggir bandar Canton,terdapat sebuah zawiyah iaitu institut pengajian agama yang dipimpin oleh Syeikh Burhanuddin al-Kazruni.Begitu juga di Changan atau Shin Kalan terdapat masjid dan zawiyah.Orang cina Islam turut dikenali sebagai Hui Hui Kaomen atau Hui Hui Kiao.Mereka telah mendirikan beberapa buah madrasah dan universiti yang telah menghasilkan para ilmuan dalam bidang agama dan falsafah.

            Ulama turut memainkan peranan dalam perkembangan agama Islam di negara China. Pada zaman Dinasti Yuan,terdapat beberapa orang ulama besar yang menetap di negara China.Antaranya ialah Fuqaha al-Mu’azzam Maulana Qawamuddin al-Sibti,seorang ulama fekah bermazhab Maliki yang berasal dari Maghribi.

            Perkembangan Islam juga dapat dilihat dalam dasar kerajaan China. Apabila Islam menjadi kuat dan berpengaruh akhirnya terbentuk beberapa buah kerajaan  di China yang mengamalkan dasar toleransi beragama  seperti DinastiYuan dan Dinasti Ming. Ramai ilmuan Islam dibawa masuk untuk berkhidmat  sebagai pentadbir, pakar kewangan, arkitek, ahli sains dan matematik, ahli kaji bintang dan sasterawan.Sebagai contoh,pada zaman Dinasti Yuan para ilmuan dari Asia Barat datang ke China untuk berkhidmat dengan kerajaan China.Antara tokoh Islam yang berkhidmat sebagai pentadbir Dinasti Yuan ialah Abdul Rahman sebagai ketua pemungut cukai dan mengendalikan urusan kewangan negara.Syeid Umar Syamsuddin (Syeid Ajall)  sebagai menteri kewangan pada tahun 1259M yang kemudiannya menjadi Gabenor Yunan.Nasaruddin penganti ayahnya sebagai Gabenor Yunan.

            Akhir sekali,perkembangan Islam dapat dilihat melalui sumbangan Islam sendiri kepada negara China. Juruteknik Islam yang masyhur pada zaman Dinasti Yuan ialah dua orang yang berketurunan Arab,iaitu Alauddin al-Mufari dan Ismail as-Syam.Kedua-duanya mahir membuat senjata meriam bagi tentera Mongol.Alauddin kemudiannya dilantik menjadi Wakil Panglima sementara Ismail as-Syam sebagai Ketua Penyelia Kilang Meriam. Di samping itu terdapat beberapa orang tokoh sains dan astronomi Islam.Seorang daripada mereka ialah Tcha Ma-Lou-Tin. Beliau berjaya mencipta sebuah takwin Wan-nien-li yang telah digunakan sebagai takwin rasmi kerajaan Yuan. Beliau turut menghadiahkan tujuh buah alat astronomi buatan Parsi kepada Kublai Khan pada tahun 1267M.Antara ahli sains Islam yang bergerak cergas di negara China ialah Ma Cha-ye-he yang merupakan seorang ahli astronomi. Pembuat tembikar Cina yang masyhur ialah Ming-ts’ing dan K’ang-ts’ing. Mereka merupakan orang Islam tempatan yang dipanggil Han Hui (Cina Islam) dan Laksamana Cheng Ho(Muhammad Ma Ho) yang memegang jawatan sebagai Laksamana tentera laut di zaman Dinasti Ming.
            Kesimpulannya,perkembangan Islam di China bermula sejak zaman khulafa ar-Rasyidin dan kesannya Islam berjaya disebarluaskan ke Asia Tenggara dan menguasai politik dan ekonomi China untuk beberapa ketika.

                                                        
                                                        

No comments:

Post a Comment