NUFFNANG ADS

Monday, May 28, 2012

Adat Masyarakat China & Jepun



HURAIKAN ADAT YANG DIAMALKAN OLEH MASYARAKAT CHINA DAN JEPUN SEBELUM KEDATANGAN BARAT.

            Masyarakat tempatan di Asia mempunyai satu sistem masyarakt yang tersusun sebelum abad ke-19 lagi. Menurut Drs.Sidi Gazalba dalam bukunya Masyarakat Islam:Pengantar Sosiologi dan Sosiografi mengatakan bahawa adat merangkumi segala peraturan masyarakat yang diamalkan sejak lahir sehingga hari kematiannya.Adat mencangkumi sejumlah tatacara,larangan,pepatah dan sebagainya dalam kehidupan seharian. Hukum adat merupakan amalan sesebuah masyarakat yang diwarisi secara turun temurun,satu peraturan yang mesti dipatuhi. Hukum adat ini telah diperturunkan secara lisan daripada satu generasi kepada generasi yang lain. Adat pula merupakan satu sistem nilai yang telah dijadikan amalan peraturan bagi mengawal dan mengatasi tingkah laku masyarakat. Adat bertujuan untuk mengawal perilaku masyarakat,symbol keseimbangan antara manusia bagi menegakkan keadilan. Fungsi adat berlainan bagi masyarakat di Asia Tenggara,Asia Selatan dan Asia Timur kerana adat yang bernilai bagi sesebuah masyarakat mungkin tidak dianggap bernilai dan berguna bagi masyarakat yang lain. Di Asia Timur,pengaruh China amat jelas dalam perlaksanaan adat dan tertumpu pada ajaran Confucius manakala di Jepun walaupun adat masih terikat pada pengaruh China namun masih mampu menonjolkan budaya yang tersendiri.

            Negara China mempunyai pelbagai adat,antaranya adat wanita hamil. Sejak dari mula kehamilan sehingga ke seratus hari selepas bersalin,mereka tidak dibenarkan menghadiri sebarang majlis social seperti perkahwinan dan pengebumian. Bagi wanita yang baru melahirkan anak,mereka perlu banyak berehat dan makan makanan yang berkhasiat. Mereka ini tidak dibenarkan makan sayur-sayuran dan buah-buahan mentah yang dianggap terlalu ‘sejuk’ atau ‘yin’ untuk sistem badan kerana ini akan menyebabkan ibu tersebut ditimpa penyakit.

            Adat bayi dan anak kecil pula,menurut masyarakat Cina,ketika bayi itu dilahirkan,dia telah pun berusia satu tahun,dan apabila dia berusia satu tahun,sebenarnya dia telah pun berusia dua tahun. Masyarakat Cina amat menitik beratkan soal pendidikan adat sejak kanak-kanak lagi terutama menghormati keluarga berdasarkan ajaran Confucius.

            Dalam adat perkahwinan pula,perkahwinan telah diaturkan sejak kecil kerana dipercayai dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan. Pihak pengantin perempuan tidak dibenarkan mengadakan majlis perkahwinan kerana ini hanya dilakukan oleh pihak lelaki sahaja. Masyarakat China amat pentingkan perkahwinan kerana adat ini dianggap akan melahirkan generasi baru yang akan menggantikan generasi lama/tua. Dalam hubungan kekeluargaan,anak dianggap penting dan menjadi satu kesalahan besar jika sepasang suami isteri itu tidak dapat melahirkan anaknya sendiri kerana ini akan menyebabkan keturunan generasi orang tuanya terhapus atau tiada.

            Bagi adat berkenaan anak lelaki,masyarakat China sangat mengutamakan anak lelaki kerana mereka akan mengekalkan nama keluarganya. Bagi bapa yang tidak mempunyai anak lelaki,papan persembahan tidak akan diletakkan di tempat pemujaan roh selepas meninggal dunia kerana dia dianggap telah gagal memenuhi tangunggjawab terhadap ibu bapanya. Maka,tidak hairanlah dalam masyarakat Cina,anak lelaki yang baru dilahirkan akan disambut dengan penuh meriah.

            Adat berkenaan anak perempuan pula,seseorang anak perempuan yang berkahwin membawa maksud hubungan kekeluargaan akan rengang kerana mereka tidak akan membawa nama keluarganya terutama setelah melahirkan anak. Anak perempuan akan dikawal rapi dan hanya tinggal di rumah sahaja. Bagi memastikan anak perempuan dikawal rapi,kakinya akan dibebat (dibalut dengan kain ketat) antara tiga ke lapan tahun dan menyebabkan pertumbuhan kaki tidak seimbang. Kaki mereka menjadi terlalu kecil sehingga mereka hanya boleh melangkah pendek ketika berjalan.

            Terdapat juga adat menghormati nenek moyang dimana masyarakt Cina sangat menghormati nenek moyang mereka dan menganggap nenek moyang mereka sebagai ketua keluarga dan nama baiknya harus dijaga dalam apa jua keadaan. Penghormatan ini akan dilakukan terutama pada hari-hari tertentu seperti menyambut Tahun Baru. Sebagaimana hukum adat negara-negara lain di rantau ini,hukum adat di negara China turut dipertangunggjawabkan kepada golongan tua atau majlis orang tua.

            Adat terakhir dalam masyarakat Cina ialah Adat kowtow. Adat ini  merupakan satu adat menghormati raja ketika menghadap raja. Dalam adat ini,sesiapa sahaja yang ingin menghadap raja dikehendaki meniarap sebanyak sembilan kali di hadapan maharajanya. Adat ini dipatuhi oleh semua termasuklah duta-duta Barat seperti Perancis,Belanda dan England yang terpaksa melakukan adat ini ketika menghadap maharaja China.

            Di negara Jepun pula,adat yang diamalkan  ialah Adat minum teh(chanoyu).  Adat ini diwarisi sejak abad ke-16 lagi dan merupakan satu bentuk ritual yang menjadi amalan dalam rutin kehidupan seharian.Adat ini dipengaruhi oleh Zen Buddhisme yang antara lain bertujuan untuk menyatu dan membersihkan jiwa serta bersatu dengan alam kerana alam dilihat oleh penganut agama sebagai elemen yang mempunyai pengaruh yang sangat besar dalam kehidupan seseorang. Walaupun kini ia hanya dianggap sebagai hobi,namun bagi mereka yang masih kuat berpegang kepada tradisi,masih terus mengamalkannya. Adat minum teh ini mementigkan aspek etika,peralatannya serta perhiasan dalam bentuk yang ringkas dan teh yang digunakan mestilah teh hijau. Adat ini diamalkan oleh golongan atasan dan rakyat jelata terutama dalam mengalu-alukan kunjungan tetamu.

            Adat lain pula ialah adat sopan santun dan adat aturan. Masyarakat Jepun amat terkenal dengan adat menundukkan kepala setiap kali berjumpa dengan seseorang. Golongan atasan terutamanya mengamalkan adat berpakaian dan berbudi bahasa ketika berkomunikasi antara satu sama lain kerana ini melambangkan nilai-nilai murni yang tinggi dalam kalangan masyarakat Jepun dan harus menjadi ikutan kepada rakyatnya.

            Adat berkaitan seni dan kecantikan. Masyarakat Jepun amat menyukai seni dan kecantikan kerana bagi mereka kedua-duanya berkaitan dengan elemen kesopanan dan peraturan yang harus diikuti. Adat mereka ini diperhalusi dengan seni dan kecantikan agar menjadi satu adat istiadat yang indah dan  menarik. Perjalanan adat istiadat Jepun banyak dipengaruhi dengan gubahan seni bunga yang dikaitkan dengan Zen Buddhisme. Gubahan bunga atau dikenali sebagai ikebana bukan sekadar gubahan semata-mata,malahan penggubah atau pembuatnya seolah-olah bersatu dengan alam untuk menggambarkan keharmonian antara syurga,bumi dan manusia.

            Bagi adat menghormati raja dan golongan bangsawan pula,raja/maharaja amat dihormati oleh masyarakat Jepun kerana bagi mereka maharaja mendapat perlindungan dewa-dewi. Tambahan pula,maharaja Jepun telah mendapat pengiktirafan sebagai ketua negara,namun baginda tidak mempunyai kuasa pemerintahan secara total,maka rakyat digalakkan menjalankan upacara menghormati raja/maharaja. Golongan bangsawan juga amat dihormati oleh masyarakat Jepun dan mereka memberikan keutamaan kepada golongan ini ketika berjalan. Misalnya,ketika perarakan pembesar wilayah (daimyo) barat yang berulang-alik di jalan Tokaido menuju ke istana,daimyo-daimyo ini diarak atas usungan. Usungan ini dipikul di tengah-tengah perarakan atau di tengah jalan,manakala rakyat harus berdiri di tepi jalan memberi penghormatan kepada daimyo-daimyo ini dengan cara berlutut dan sujud ke tanah. Sekiranya rakyat atau sesiapa sahaja tidak memberi keutamaan ini maka mereka akan dijatuhi hukuman.

            Adat terakhir ialah adat perkahwinan. Perkahwinan menjadi satu amalan dan adat yang harus dijalankan dengan penuh tradisi masyrakat. Perkahwinan dalam masyarakat petani dibuat melalui pilihan kedua-dua pasangan pengantin dan orang tua hanya bertindak merestui perkahwinan tersbut. Perkahwinan juga memperlihatkan peranan orang tengah kerana mereka ini berperanan memneri kepuasan kepada kedua-dua pihak selain memberi kaum wanita peluang untuk membuat pilihan.

            Kesimpulannya,adat di negara China dan negara Jepun mempunyai peranan yang tersendiri dan berbeza. Adat di ngara mereka telah menjadi panduan dalam hidup mereka di samping mencipta hubungan yang erat antara satu sama lain. Walau bagaimanapun selepas kedatangan pihak Barat ke negara mereka,berlaku perubahan dalam adat mereka dan adat yang diamalkan oleh  mereka masih  kekal sehingga sekarang.

                                                                               

No comments:

Post a Comment