NUFFNANG ADS

Thursday, June 21, 2012

Ciri-ciri Negara Kota Alam Melayu



 Jelaskan ciri – ciri negara kota Alam Melayu.

                  Kemunculan negara kota dapat dikesan sejak Zaman Neolitik apabila petempatan - petempatan awal yang berbentuk perkampungan berkembang kepada bandar dan seterusnya lahir negara kota. Negara kota merupakan manifestasi awal institusi negara. Manifestasi merupakan perwujudan atau bentuk dari sesuatu yang tidak kelihatan. Mengikut Kamus Dewan, negara kota ditakrifkan sebagai negara yang berautonomi atau memerintah sendiri yang terdiri daripada ketua dan wilayah di sekelilinginya. Mengikut Encyclopedia Britania pula, negara kota ditakrifkan sebagai satu komuniti urbanisasi yang saling bergantung antara bandar dan kawasan pedalaman. Dalam Bahasa Greek pula, negara kota disebut sebagai polis yang bermaksud sekumpulan penduduk bergabung menjadi satu komuniti politik dan sama-sama menjalankan pemerintahan. Negara kota terdiri daripada kota kecil yang dikelilingi oleh kawasan pertanian kecil. Sebagai contoh, Sparta, Athens, Corinth dan Argos di Yunani; Rom di Rom; Mekah, Madinah dan Taif di Arab dan Langkasuka dan Kedah di Tanah Melayu. Penubuhan negara kota ini didorong oleh perubahan corak kehidupan nomad kepada tetap. Contoh negara kota Alam Melayu adalah Funan, Langkasuka, Kedah Tua, Chih Tu dan sebagainya.

                   Antara ciri negara kota Alam Melayu adalah mempunyai kedudukan strategik. Negara kota Alam Melayu terletak di tengah – tengah perjalanan perdagangan antara timur dan barat yang menjadi tumpuan pedagang asing seperti China, India, Arab, dan Kepulauan Melayu sendiri.Keadaan geografi seperti Angin Monsun Timur Laut dan Barat Daya membuat pedagang – pedagang dari China dan India datang ke gugusan kepulauan Melayu dengan mudah. Contohnya, Langkasuka terletak di tengah – tengah jalan perdagangan antara China dan India.Selain itu,Kedah terletak di Lembah Bujang yang menjadi tempat tumpuan pedagang untuk menjalankan perniagaan.

               Ciri yang seterusnya adalah kekayaan sumber asli yang terdapat di negara kota Alam Melayu. Contohnya, Nusantara kaya dengan hasil hutan seperti kayu gaharu, kapur barus dan rotan.Kekayaan hasil pertanian seperti rempah ratus, teh, beras dan lain-lain.Hasil-hasil laut seperti kowri yang dijadikan mata wang , kerang dwi katup, tiram mutiara dan lain-lain.Hasil Perlombongan seperti emas, bijih besi, antimony dan lain-lain.

               Agama juga merupakan salah satu ciri negara kota Alam Melayu. Kebanyakan negara kota Alam Melayu terpengaruh dengan agama Hindu dan Buddha. Contohnya, lembah sungai Merbok di kedah tua memainkan peranan penting sebagai pusat agama Hindu dan Buddha antara tahun 550-750M. Selain itu,pusat perkembangan agama Buddha  juga membantu mengembangkan kegiatan perdagangan dengan India dan China yang seagama.

             Selain itu, pemerintahan dan pentadbiran yang cekap, teratur dan stabil juga merupakan salah satu ciri negara kota Alam Melayu. Kebanyakan kerajaan di Alam Melayu mempunyai sistem pemerintahan dan pentadbiran yang tersusun. Contohnya, Chih – Tu mengamalkan sistem pemerintahan beraja mengikut corak pemerintahan Srivijaya yang  mengamalkan sistem pemerintahan kerajaan pusat dan wilayah.Sistem ini secara tidak langsung melicinkan serta mengekalkan keamanan dan memajukan perdagangan.

                Kemudahan perdagangan dan pentadbiran perniagaan juga merupakan salah satu ciri negara kota Alam Melayu. Pemerintah menyediakan kemudahan-kemudahan di pelabuhan seperti tempat menginap, tempat perniagaan, gudang, sistem sukatan dan timbangan yang standard, kemudahan membaiki kapal dan lain-lain. Contohnya, pelabuhan Oc- Eo di Funan dan Lembah Bujang yang terletak di Langkasuka. Di Melaka, Syahbandar, Nakhoda dan Kiwi mengurus hal-hal perdagangan. Mata wang logam digunakan dalam urusniaga.

                Negara kota Alam Melayu mempunyai ciri yang istimewa iaitu mempunyai orang laut. Orang laut ini  mempunyai peranan yang tersendiri. Contohnya,Orang Laut direkrut untuk bertanggungjawab menjaga keselamatan kawasan perairan untuk membanteras kegiatan perlanunan.Mereka mengawal jalan-jalan laut supaya selamat daripada ancaman dan serangan lanun.Orang Laut juga memaksa kapal-kapal dagang singgah untuk berdagang.

                  Ciri negara kota Alam Melayu yang seterusnya adalah hubungan politik dengan China. Contohnya, Langkasuka yang mempunyai hubungan politik dengan China memainkan peranan penting dalam bidang ekonomi dan politik mulai abad ke – 6 Masihi. Hubungan persahabatan Langkasuka dengan China bererti ia akan mendapat pengiktirafan dan perlindungan daripada China apabila menghadapi ancaman musuh.Suasana aman dan damai dapat diwujudkan dan ini membolehkan kegiatan perdagangan berjalan dengan lancar. Hubungan erat dengan China juga menggalakkan kemasukan ramai pedagang dari China.

                   Kesimpulan, negara kota Alam Melayu unik dan berbeza dengan negara kota yang lain kerana kemunculan negara kota Alam Melayu ini berdekatan dengan persisiran pantai. Selain itu, kemunculan negara kota ini telah melambang kemajuan yang dicipta oleh masyarakat dalam pelbagai bidang.

Karya : Moo Yee Shan

No comments:

Post a Comment