- Assalamualaikum -
Hari ni saja nak kongsi artikel daripada I LUV ISLAM.
Mungkin juga pesanan yang dah lama kita abaikan dalam hidup kita.
Ada 25 pesanan Lukmanul Hakim.
Hai anakku; ketahuilah, sesungguhnya
dunia ini bagaikan lautan yang dalam, banyak manusia yang karam ke dalamnya.
Bila engkau ingin selamat, agar jangan karam, layarilah lautan itu dengan
SAMPAN yang bernama TAKWA,
ISInya ialah IMAN dan
LAYARnya adalah TAWAKKAL kepada ALLAH.
Orang - orang yang sentiasa menyediakan
dirinya untuk menerima nasihat, maka dirinya akan mendapat
penjagaan dari ALLAH. Orang yang insaf dan
sedar setalah menerima nasihat orang lain, dia akan sentiasa menerima
kemuliaan dari ALLAH juga.
Hai anakku; orang yang merasa dirinya
hina dan rendah diri dalam beribadat dan taat kepada ALLAH,
maka dia tawadduk kepada ALLAH, dia akan lebih dekat kepada ALLAH dan selalu
berusaha menghindarkan maksiat kepada ALLAH.
Hai anakku; seandainya ibubapamu marah
kepadamu kerana kesilapan yang dilakukanmu, maka marahnya ibubapamu
adalah bagaikan baja bagi tanam tanaman
Jauhkan dirimu dari berhutang, kerana
sesungguhnya berhutang itu boleh menjadikan dirimu hina di
waktu siang dan gelisah di waktu malam.
Dan selalulah berharap kepada
ALLAH tentang sesuatu yang menyebabkan untuk tidak menderhakai ALLAH.
Takutlah kepada ALLAH dengan sebenar benar takut ( takwa ), tentulah engkau akan
terlepas dari sifat berputus asa dari rahmat ALLAH.
Hai anakku; seorang pendusta akan lekas
hilang air mukanya kerana tidak dipercayai orang dan seorang yang telah rosak
akhlaknya akan sentiasa banyak melamunkan hal hal yang tidak benar. Ketahuilah,
memindahkan batu besar dari tempatnya semula itu lebih mudah daripada
memberi pengertian kepada orang yang tidak mahu mengerti.
Hai anakku; engkau telah merasakan betapa beratnya mengangkat
batu besar dan besi yang amat berat, tetapi akan lebih lagi daripada semua itu,
adalah bilamana engkau mempunyai tetangga (jiran) yang jahat.
Hai anakku; janganlah engkau mengirimkan orang yang bodoh
sebagai utusan. Maka bila tidak ada orang yang cerdik, sebaiknya dirimulah saja
yang layak menjadi utusan.
Jauhilah bersifat dusta, sebab dusta itu mudah
dilakukan, bagaikan memakan daging burung, padahal sedikit sahaja berdusta itu
telah memberikan akibat yang berbahaya.
Hai anakku; bila engkau mempunyai dua pilihan, takziah orang
mati atau hadir majlis perkahwinan, pilihlah untuk menziarahi orang
mati, sebab ianya akan mengingatkanmu kepada kampung akhirat sedangkan
menghadiri pesta perkahwinan hanya mengingatkan dirimu kepada kesenangan duniawi
sahaja.
Janganlah engkau makan sampai kenyang yang
berlebihan, kerana sesungguhnya makan yang terlalu kenyang itu adalah
lebih baiknya bila makanan itu diberikan kepada anjing sahaja.
Hai anakku; janganlah engkau langsung menelan sahaja kerana
manisnya barang dan janganlah langsung memuntahkan saja pahitnya sesuatu barang
itu, kerana manis belum tentu menimbulkan kesegaran dan pahit itu belum tentu
menimbulkan kesengsaraan.
Makanlah makananmu bersama sama dengan orang - orang
yang takwa dan musyawarahlah urusanmu dengan para alim
ulamak dengan cara meminta nasihat dari mereka.
Hai anakku; bukanlah satu kebaikan namanya bilamana engkau
selalu mencari ilmu tetapi engkau tidak pernah mengamalkannya.
Hal itu tidak ubah bagaikan orang yang mencari kayu bakar, maka setelah banyak
ia tidak mampu memikulnya, padahal ia masih mahu menambahkannya.
Hai anakku; bilamana engkau mahu mencari kawan
sejati, maka ujilah terlebih dahulu dengan berpura pura membuat dia
marah. Bilamana dalam kemarahan itu dia masih berusaha menginsafkan
kamu,maka bolehlah engkau mengambil dia sebagai kawan. Bila tidak
demikian, maka berhati hatilah.
Selalulah baik tutur kata dan halus budi bahasamu serta
manis wajahmu, dengan demikian engkau akan disukai orang melebihi
sukanya seseorang terhadap orang lain yang pernah memberikan barang yang
berharga.
Hai anakku; bila engkau berteman, tempatkanlah dirimu padanya
sebagai orang yang tidak mengharapkan sesuatu daripadanya.
Namun biarkanlah dia yang mengharapkan sesuatu darimu.
Jadikanlah dirimu dalam segala tingkahlaku sebagai orang yang
tidak ingin menerima pujian atau mengharap sanjungan orang lain
kerana itu adalah sifat riya~ (riak) yang akan mendatangkan cela pada dirimu.
Hai anakku; janganlah engkau condong kepada urusan dunia dan
hatimu selalu disusahkan olah dunia saja kerana engkau diciptakan ALLAH bukanlah
untuk dunia sahaja. Sesungguhnya tiada makhluk yang lebih hina daripada
orang yang terpedaya dengan dunianya.
Hai anakku; usahakanlah agar mulutmu jangan
mengeluarkan kata kata yang busuk dan kotor serta kasar, kerana engkau
akan lebih selamat bila berdiam diri. Kalau berbicara,
usahakanlah agar bicaramu mendatangkan manfaat bagi orang lain.
Hai anakku; janganlah engkau mudah ketawa
kalau bukan kerana sesuatu yang menggelikan, janganlah engkau berjalan tanpa
tujuan yang pasti, janganlah engkau bertanya sesuatu yang tidak ada guna bagimu,
janganlah mensia siakan hartamu.
Barang sesiapa yang penyayang tentu akan
disayangi, sesiapa yang pendiam akan selamat daripada berkata yang mengandungi
racun, dan sesiapa yang tidak dapat menahan lidahnya dari berkata kotor tentu
akan menyesal.
Hai anakku; bergaullah
rapat dengan orang yang alim lagi berilmu. Perhatikanlah kata
nasihatnya kerana sesungguhnya sejuklah hati ini mendengarkan nasihatnya,
hiduplah hati ini dengan cahaya hikmah dari mutiara kata katanya bagaikan tanah
yang subur lalu disirami air hujan.
Hai anakku; ambillah
harta dunia sekadar keperluanmu sahaja, dan nafkahkanlah yang selebihnya untuk
bekalan akhiratmu. Jangan engkau tendang dunia ini ke keranjang atau
bakul sampah kerana nanti engkau akan menjadi pengemis yang membuat beban orang
lain. Sebaliknya janganlah engkau peluk dunia ini serta meneguk habis airnya
kerana sesungguhnya yang engkau makan dan pakai itu adalah tanah belaka.
Janganlah engkau bertemankan dengan orang yang bersifat talam
dua muka, kelak akan membinasakan dirimu.
p/s --> Di antara sifat mukminin dalam Al-Quran : -
Mereka berpesan-pesan dengan kebenaran & berpesan-pesan dengan kesabaran.
Mereka berpesan-pesan dengan kebenaran & berpesan-pesan dengan kesabaran.
Mereka yang membaca,berpesanlah kepada mereka yang lain.
Arigatou gozaimasu !!!!
pesanan yang haruss diamalkan :) insya Allah.
ReplyDelete