Jelaskan
ciri – ciri negara kota Alam Melayu.
Kemunculan negara kota dapat dikesan
sejak Zaman Neolitik apabila petempatan - petempatan awal yang berbentuk perkampungan
berkembang kepada bandar dan seterusnya lahir negara kota. Negara kota merupakan
manifestasi awal institusi negara. Manifestasi merupakan perwujudan atau bentuk
dari sesuatu yang tidak kelihatan. Mengikut
Kamus Dewan, negara kota ditakrifkan sebagai negara yang berautonomi atau
memerintah sendiri yang terdiri daripada ketua dan wilayah di sekelilinginya.
Mengikut Encyclopedia Britania pula, negara kota ditakrifkan sebagai satu
komuniti urbanisasi yang saling bergantung antara bandar dan kawasan pedalaman.
Dalam Bahasa Greek pula, negara kota disebut sebagai polis yang bermaksud
sekumpulan penduduk bergabung menjadi satu komuniti politik dan sama-sama
menjalankan pemerintahan. Negara kota terdiri daripada kota kecil yang
dikelilingi oleh kawasan pertanian kecil. Sebagai contoh, Sparta, Athens,
Corinth dan Argos di Yunani; Rom di Rom; Mekah, Madinah dan Taif di Arab dan
Langkasuka dan Kedah di Tanah Melayu. Penubuhan negara kota ini didorong oleh
perubahan corak kehidupan nomad kepada tetap. Contoh negara kota Alam Melayu
adalah Funan, Langkasuka, Kedah Tua, Chih Tu dan sebagainya.
Antara ciri
negara kota Alam Melayu adalah mempunyai kedudukan strategik. Negara kota Alam
Melayu terletak di tengah – tengah perjalanan perdagangan antara timur dan
barat yang menjadi tumpuan pedagang asing seperti China, India, Arab, dan
Kepulauan Melayu sendiri.Keadaan geografi seperti Angin Monsun Timur Laut dan
Barat Daya membuat pedagang – pedagang dari China dan India datang ke gugusan
kepulauan Melayu dengan mudah. Contohnya, Langkasuka terletak di tengah –
tengah jalan perdagangan antara China dan India.Selain itu,Kedah terletak di
Lembah Bujang yang menjadi tempat tumpuan pedagang untuk menjalankan
perniagaan.
Ciri yang seterusnya adalah kekayaan sumber asli yang terdapat di negara
kota Alam Melayu. Contohnya, Nusantara
kaya dengan hasil hutan seperti kayu gaharu, kapur barus dan rotan.Kekayaan
hasil pertanian seperti rempah ratus, teh, beras dan lain-lain.Hasil-hasil laut
seperti kowri yang dijadikan mata wang , kerang dwi katup, tiram mutiara dan
lain-lain.Hasil Perlombongan seperti emas, bijih besi, antimony dan lain-lain.
Agama juga merupakan salah satu
ciri negara kota Alam Melayu. Kebanyakan negara kota Alam Melayu terpengaruh
dengan agama Hindu dan Buddha. Contohnya, lembah sungai Merbok di kedah tua
memainkan peranan penting sebagai pusat agama Hindu dan Buddha antara tahun
550-750M. Selain itu,pusat perkembangan agama Buddha juga membantu mengembangkan kegiatan
perdagangan dengan India dan China yang seagama.
Selain itu, pemerintahan dan pentadbiran yang cekap, teratur dan stabil juga
merupakan salah satu ciri negara kota Alam Melayu. Kebanyakan kerajaan
di Alam Melayu mempunyai sistem pemerintahan dan pentadbiran yang tersusun.
Contohnya, Chih – Tu mengamalkan sistem pemerintahan beraja mengikut corak
pemerintahan Srivijaya yang mengamalkan
sistem pemerintahan kerajaan pusat dan wilayah.Sistem ini secara tidak langsung
melicinkan serta mengekalkan keamanan dan memajukan perdagangan.
Kemudahan perdagangan dan pentadbiran perniagaan juga merupakan salah
satu ciri negara kota Alam Melayu.
Pemerintah menyediakan kemudahan-kemudahan di pelabuhan seperti tempat
menginap, tempat perniagaan, gudang, sistem sukatan dan timbangan yang
standard, kemudahan membaiki kapal dan lain-lain. Contohnya, pelabuhan Oc- Eo
di Funan dan Lembah Bujang yang terletak di Langkasuka. Di Melaka, Syahbandar,
Nakhoda dan Kiwi mengurus hal-hal perdagangan. Mata wang logam digunakan dalam
urusniaga.
Negara kota Alam Melayu mempunyai ciri yang istimewa iaitu mempunyai
orang laut. Orang laut ini mempunyai
peranan yang tersendiri. Contohnya,Orang
Laut direkrut untuk bertanggungjawab menjaga keselamatan kawasan perairan untuk
membanteras kegiatan perlanunan.Mereka mengawal jalan-jalan laut supaya selamat
daripada ancaman dan serangan lanun.Orang Laut juga memaksa kapal-kapal dagang
singgah untuk berdagang.
Ciri negara kota Alam Melayu
yang seterusnya adalah hubungan politik
dengan China. Contohnya, Langkasuka yang mempunyai hubungan politik dengan
China memainkan peranan penting dalam bidang ekonomi dan politik mulai abad ke
– 6 Masihi. Hubungan persahabatan Langkasuka dengan China bererti ia
akan mendapat pengiktirafan dan perlindungan daripada China apabila menghadapi
ancaman musuh.Suasana aman dan damai dapat diwujudkan dan ini membolehkan
kegiatan perdagangan berjalan dengan lancar. Hubungan erat dengan China juga
menggalakkan kemasukan ramai pedagang dari China.
Kesimpulan, negara kota Alam
Melayu unik dan berbeza dengan negara kota yang lain kerana kemunculan negara
kota Alam Melayu ini berdekatan dengan persisiran pantai. Selain itu,
kemunculan negara kota ini telah melambang kemajuan yang dicipta oleh
masyarakat dalam pelbagai bidang.
Karya : Moo Yee Shan
No comments:
Post a Comment